31.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

3 bot tempatan kelas C ditahan, langgar zon perikanan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu telah menahan tiga bot nelayan tempatan disyaki melanggar syarat sah lesen zon perikanan pada jarak lebih kurang 5.60 batu nautika dari Pantai Mukah, Sarawak.

Penahanan bot berkenaan dilakukan penguatkuasa sekitar pukul 11 pagi, Khamis lalu.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar bin Saad berkata, tangkapan dibuat berikutan aduan komuniti nelayan setempat mengenai aktiviti segelintir bot nelayan tempatan yang menceroboh kawasan pesisir pantai.

“Setelah risikan dilakukan, terdapat bot-bot nelayan yang bukan daripada kawasan setempat telah menceroboh dan seterusnya aset Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi yang dikenalpasti.

“Hasilnya ketiga-tiga bot tersebut telah ditahan ketika sedang leka menunda pukat dan melakukan aktiviti penangkapan ikan.

Advertisements

“Pemeriksaan ke atas ketiga-tiga bot mendapati bot tersebut dikendalikan 17 kru yang mana 13 kru adalah warga tempatan termasuk tekong dan empat adalah kru warga Indonesia, yang kesemuanya berumur dalam lingkungan 19 hingga 62 tahun,”katanya menerusi kenyataan di sini.

Beliau berkata, Maritim Malaysia turut menyita bot, peralatan menangkap ikan jenis pukat tunda, beserta 1.5 tan ikan campur.

Katanya, kesemua kru termasuk tekong beserta bot ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut.

“Sehubungan dengan itu kes akan disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen kerana melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan yang mana boleh dikenakan kompaun daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

“Manakala kru warga asing yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63,”katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan