MANCHESTER City hari ini menandatangani pemain tengah kreatif, Mateo Kovacic dari Chelsea dengan yuran perpindahan sebanyak RM148.6 juta.
Bintang Crotia itu menandatangani kontrak selama empat tahun sehingga 2027 dab merupakan rekrut sulung juara Liga Juara Juara Eropah (UCL) itu musim ini.
Pemain berusia 29 tahun itu dibawa masuk bagi menggantikan Ilkay Gundogan yang menyertai Barcelona secara ejen bebas susulan kejayaan meraih kejuaraan treble musim lalu.
Kovacic menyertai Chelsea secara pinjaman dari Real Madrid pada musim 2018-19 sebelum diambil secara tetap pada musim berikutnya.
Sepanjang bersama The Blues, Kovacic meraih kejuaraan UCL dan Liga Europa dengan merekodkan sebanyak 221 penampilan untuk kelab barat London tersebut.
Kovacic selepas melengkapkan perpindahannya ke Stadium Etihad berkata, dia tidak sabar untuk beraksi bersama City.
“Ini merupakan perpindahan yang hebat untuk saya. Sesiapa yang menyaksikan pasukan ini beraksi di bawah Pep Guardiola pastinya tahu betapa bagusnya mereka.
“Bagi saya, mereka pasukan terbaik di dunia. Trofi yang dimenangi (musim lalu) sudah cukup memperlihatkan betapa bagusnya mereka, juga permainan bola sepak yang ditampilkan,” katanya. – Edisi 9