33.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 7, 2024

Kaji sensitiviti sebelum ‘bak kut teh’ jadi makanan warisan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN digesa mengkaji sensitiviti masyarakat terlebih dahulu sebelum menjadikan bak kut teh sebagai makanan warisan kebangsaan.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata penarafan warisan sesuatu perkara itu perlu memenuhi syarat menyeluruh dan salah satu daripadanya adalah tidak menimbulkan kontroversi kaum dari sudut budaya, agama dan kehidupan.

“Ha… ini baru “betul”. Kerajaan PH (Pakatan Harapan) sedang timbang nak jadikan makanan bak kut teh sebagai makanan berstatus warisan kebangsaan.

“Penasihat bahasa memaklumkan erti bak kut teh adalah bak (daging babi) kut (tulang) dan teh (sup herba khas),” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau merujuk mengenai kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing yang baru-baru ini mengatakan akan mempertimbangkan penarafan makanan berkenaan.

Rais berkata, dalam hal berkenaan Jabatan Warisan Negara seharusnya menasihatkan menteri terbabit agar tidak terburu-buru membuat sesuatu perkara dan mengkaji terlebih dahulu sensitiviti masyarakat Malaysia.

Advertisements

“Jabatan Warisan yang saya bantu wujudkan (penarafan warisan) 2005 dulu buat apa ye? Diam sahaja ke atau berani nasihatkan menteri budaya supaya jangan terburu-buru buat hal. Kaji dulu sensitiviti masyarakat Malaysia.

“Salah satu prinsip penarafan warisan ialah sebelum barang, benda, amalan, nilai atau seni budaya itu diiktiraf sebagai warisan ia mesti memenuhi syarat-syarat integral.

“Satu daripadanya ialah syor itu tidak menimbulkan kontroversi kaum dari sudut budaya agama dan kehidupan,” tegasnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga wajib dirundingi mengenai perkara berkenaan.

“Elok teliti Akta Warisan Kebangsaan dulu yang juga saya olah bersama para pakar kita 2005,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

MASA, IDS jalin kerjasama bidang penyelidikan, masyarakat

INSTITUT Kajian Pembangunan (Sabah) IDS dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan menjalin...

Lagi Artikel Berkaitan