26.6 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

Tiada kompromi individu bersekongkol kes tuntutan Sulu

Mesti Baca

KERAJAAN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu termasuk rakyat Malaysia, jika didapati bersekongkol atau membantu kumpulan mendakwa waris Kesultanan Sulu terhadap tuntutan Sabah.

Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim siasatan terhadap pihak yang membuat tuntutan, penimbang tara, peguam serta pihak berkaitan sudah dimulakan oleh pihak polis.

Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 124K Kanun Keseksaan bagi kesalahan sabotaj dan sebarang tindakan yang diambil adalah berasaskan undang-undang serta tiada sebarang penindasan terhadap mana-mana pihak.

“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jenayah menurut undang-undang yang sedang berkuat kuasa terhadap mana-mana pihak termasuk warganegara Malaysia yang membelakangkan kepentingan dan keselamatan negara.

“Ia sama ada dengan memberikan sebarang sokongan, bantuan secara langsung mahupun tidak langsung dan bersekongkol dengan pihak yang membuat tuntutan,”katanya pada sesi penerangan status berhubung tuntutan mendakwa waris Sultan Sulu di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan sedang menyiasat kemungkinan wujud ‘tali barut’ dalam kalangan rakyat negara ini yang membantu dalam kes kumpulan yang mendakwa waris Sulu.

Advertisements

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kerajaan Malaysia sentiasa komited dalam bertindak secara proaktif bagi menamatkan isu tuntutan berkenaan selain memastikan kepentingan serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

“Dalam hal ini, kerajaan Malaysia akan terus mara ke hadapan dan berjuang habis-habisan, demi melindungi dan memelihara kepentingan dan kedaulatan Malaysia pada setiap masa,”katanya.

Beliau turut menegaskan kerajaan akan terus berjuang melindungi, memelihara kepentingan, kedaulatan Malaysia dalam isu tuntutan Sulu.

Beliau berkata, tiada bukti pembabitan dan campur tangan Kerajaan Filipina dalam isu tuntutan Sulu.

Dalam pada itu, katanya, Malaysia akan terus memastikan naratif yang sahih disebarkan kepada semua termasuk komuniti antarabangsa melalui laman sesawang rasmi kerajaan dan platform tertentu. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan