27.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Lantikan politik: Pemuda UMNO kritik Mat Sabu

Tindakan itu adalah bertentangan dengan prinsip kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PEMUDA UMNO mengkritik tindakan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu yang membuat keputusan melantik lima pemimpin Pakatan Harapan (PH) bagi menerajui agensi utama di bawah Kementerian Pertanian Makanan dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu yang juga Menteri KPKM supaya menarik semula lantikan tersebut.

Ini kerana kata beliau, tindakan itu adalah bertentangan dengan prinsip kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dua hari lalu, KPKM mengumumkan lantikan tiga pemimpin Amanah iaitu Faiz Fadzil sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Mahfuz Omar sebagai pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), manakala Aminuddin Zulkipli dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Sementara itu, Azman Ismail dari PKR serta Sheikh Umar Bagharid Ali dari DAP masing-masing diberi tanggungjawab menerajui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Menurut Akmal, lantikan itu perlu diteliti semula kerana ia bercanggah dengan pendirian reformasi yang diperjuangkan Anwar yang menentang amalan lantikan politik dalam badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Advertisements

“Walaupun itu hak prerogatif menteri seperti kita sedia maklum tetapi kena diambil kira prinsip yang kerajaan pegang dan janjikan,” katanya dalam memetik laporan Sinar Harian.

Sehubungan dengan itu, beliau minta Perdana Menteri melihat semula prinsip yang ditetapkan itu dan teruskan berpegang kepada prinsip berkenaan serta tunaikan apa yang dijanjikan.

“Kalau ia tidak dikotakan, saya risau rakyat akan mula benci, muak dan mereka tak mahu lagi ambil tahu pasal politik negara,”katanya.

Pada masa sama, beliau menjelaskan, teguran itu dibuat oleh pihaknya selepas mendapati perbuatan tersebut adalah salah dan perlu diperbetulkan.

Tambahnya, semua pihak tidak kira parti politik perlu tunaikan apa yang telah dijanjikan agar rakyat tidak muak dengan ahli politik.

“Kalau rakyat berasa demikian terhadap kerajaan, maka ini isu serius dan membahayakan,” katanya.

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan