SEMUA pihak dalam kerajaan Perpaduan terutama ahli-ahli parti Amanah diseru tidak membincangkan tuntutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota secara terbuka di media sosial.
Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ini kerana perkara itu belum dibincangkan di peringkat pimpinan tertinggi kerajaan Perpaduan.
Sebaliknya beliau menggesa mereka memberikan tumpuan kepada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri yang sedang dipertandingkan sekarang.
“Saya ambil maklum tuntutan kerusi DUN Mahkota oleh akar umbi Amanah yang telah diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain Jumaat lalu.
“Saya menegaskan bahawa isu tuntutan kerusi DUN Mahkota ini tidak perlu dibincangkan melalui media memandangkan isu ini masih belum dibincangkan di peringkat pimpinan tertinggi kerajaan Perpaduan.
“Saya menyeru semua pihak dalam kerajaan Perpaduan terutama ahli Amanah untuk memberikan tumpuan penuh kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri yang sedang dipertandingkan sekarang.
“Amanah terus komited kepada usaha untuk mengukuhkan perpaduan di kalangan parti-parti komponen kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Sebelum ini, Ketua Amanah Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain dilaporkan berkata, berdasarkan analisis mendalam situasi politik semasa, dia mahu Amanah dibenarkan bertanding dalam PRK itu.
Memetik laporan The Star, Mohd Zuhan berkata, kerajaan negeri Johor bukanlah kerajaan perpaduan seperti yang diamalkan oleh kerajaan pusat dan beberapa negeri lain.
Katanya, Pakatan Harapan (PH) hanya gabungan mesra dan bukannya sebahagian daripada kerajaan negeri Johor yang diterajui Barisan Nasional (BN).
Ini kerana, jelas beliau, PH tidak memegang sebarang jawatan exco, ahli majlis pihak berkuasa tempatan atau pun sebarang jawatan ketua kampung di bawah kerajaan negeri.
Kerusi DUN Mahkota yang disandang Sharifah Azizah kosong berikutan kematiannya akibat pendarahan dalaman pada 2 Ogos dipercayai akibat pendarahan dalaman.- Edisi 9