PERGERAKAN Wanita UMNO Malaysia menyerahkan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan pengurusan tertinggi parti berhubung kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Ketuanya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, buat masa sekarang pihaknya menahan diri daripada membincangkan isu pilihan raya kecil (PRK) kerusi tersebut bagi menghormati keluarga Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.
Dalam tempoh berduka itu, beliau menyeru semua pihak mengambil pendekatan yang sensitif serta memberi ruang kepada mereka yang sedang berduka atas pemergian penyandang kerusi DUN tersebut.
“Wanita UMNO menginsafi pemergian Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang baru sahaja meninggal dunia baru-baru ini dan mengucapkan takziah yang kepada keluarga dan rakyat bagi kawasan DUN Mahkota.
“Wanita UMNO turut berkongsi merasai kesedihan ini dan menghormati sensitiviti yang dirasai oleh semua pihak termasuk keluarga Allahyarham,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang meninggal dunia 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.
Notis kekosongan kerusi DUN Mahkota itu telah dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) oleh Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi pada Ahad.
Semalam, Ketua Amanah Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain dilaporkan berkata, berdasarkan analisis mendalam situasi politik semasa, beliau mahu Amanah dibenarkan bertanding dalam PRK Mahkota nanti.
Mohd Zuhan berkata, kerajaan negeri Johor bukanlah kerajaan perpaduan seperti yang diamalkan oleh kerajaan pusat dan beberapa negeri lain.
Sementara itu Noraini turut menghargai kesedaran serta empati yang ditunjukkan oleh masyarakat dan mengajak semua untuk bersatu dalam memberikan sokongan kepada keluarga Allahyarhamah.
“Semoga roh beliau dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan keluarga beliau diberi kesabaran dalam menghadapi dugaan ini,” katanya. – Edisi 9