WANITA UMNO Malaysia menegaskan tekad untuk melihat parti itu kembali memenangi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) dengan menekankan kepentingan perpaduan dalaman, pengukuhan peranan wanita serta kesiapsiagaan menghadapi realiti politik baharu negara.
Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, PRU-16 bukan sekadar pertandingan politik biasa, sebaliknya penentuan masa depan negara dan kelangsungan UMNO sebagai parti teras orang Melayu dan Bumiputera.
Menurut beliau, pengalaman pahit PRU-15 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) hanya memenangi 30 kerusi Parlimen harus dijadikan pemangkin kebangkitan, bukannya alasan untuk terus berpecah dan berbalah.
“UMNO tidak pernah mati kerana kalah pilihan raya. UMNO tidak akan berkubur kerana lompat parti. Tetapi UMNO hanya akan lumpuh jika kita berbalah sesama sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala (WTC) Lumpur hari ini.
Dalam ucapannya, Noraini menegaskan bahawa kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan perlu dilihat sebagai realiti baharu landskap politik, selari dengan perkembangan demokrasi global yang menyaksikan kuasa politik semakin dikongsi.
Bagaimanapun, beliau menegaskan UMNO tidak boleh dilihat sebagai parti pengikut, sebaliknya mesti kekal sebagai parti teras yang memimpin, berprinsip dan berani menetapkan garis merah dalam mempertahankan agama, bangsa dan institusi Raja Berperlembagaan.
Sehubungan itu, Wanita UMNO menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Presiden UMNO dalam mengemudi kerjasama politik secara berhikmah dan berstrategi.
Menyentuh soal pemerkasaan wanita, Noraini sekali lagi menegaskan tuntutan agar sasaran minimum 30 peratus penyertaan wanita dalam kepimpinan parti dimaktubkan secara rasmi dalam perlembagaan UMNO.
Menurut beliau, tuntutan itu bukan bersifat rayuan, sebaliknya satu keperluan strategik bagi memastikan parti kekal relevan, matang dan seimbang dalam menghadapi cabaran semasa.
“Wanita bukan sekadar jentera yang digerakkan ketika pilihan raya. Wanita bukan hanya pengisi barisan ketika kempen. Wanita mesti menjadi sebagai sebahagian daripada pembuat dasar. Wanita mesti menjadi penentu hala tuju. Wanita adalah tiang seri kepada kekuatan parti,” katanya.
Selain itu, Wanita UMNO turut mendesak agar Akta Pendanaan Politik segera direalisasikan bagi menjamin ketelusan, integriti dan kematangan sistem demokrasi negara, sekali gus menamatkan budaya fitnah serta tohmahan terhadap parti politik.
Dalam aspek ekonomi, Noraini menekankan peranan program TVET Wanita JELITA yang disifatkan sebagai inisiatif penting dalam memperkasa kemahiran dan keusahawanan wanita, khususnya dalam sektor ekonomi kendiri dan informal.
Beliau turut mengumumkan cadangan penubuhan ‘Center of Excellence DELIMA’ sebagai platform baharu bagi melahirkan lebih ramai usahawan wanita serta memperkukuh ekonomi keluarga dan komuniti.
Pada masa sama, Wanita UMNO mencadangkan agenda Women in Halal Industry dijadikan salah satu agenda strategik negara di bawah Majlis Pembangunan Industri Halal Negara, bagi meningkatkan penglibatan wanita dalam industri halal yang berpotensi besar.
Mengulas persediaan menghadapi PRU-16, Noraini menegaskan Wanita UMNO perlu menggabungkan kekuatan tradisional heartware melalui sentuhan kemanusiaan dengan hardware digital, termasuk pengurusan data, media sosial dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Beliau turut mencadangkan penubuhan skuad khas digital sebagai barisan hadapan menghadapi peperangan persepsi dan fitnah di alam siber.
Noraini turut menyeru seluruh jentera Wanita UMNO agar bergerak dengan satu suara, satu tekad dan satu kekuatan demi mengembalikan keyakinan rakyat serta memartabatkan semula UMNO sebagai juara rakyat. — Edisi 9

