UMNO menegaskan komitmen tidak berkompromi dalam mempertahankan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, kesucian agama Islam serta kedaulatan Raja-Raja Melayu, walaupun berada dalam Kerajaan Perpaduan, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Berucap merasmikan serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, beliau berkata, kerjasama politik bukan tiket untuk melonggarkan prinsip asas parti.
“Politik boleh berubah, gabungan boleh bertukar, tetapi prinsip UMNO kekal. Jangan sesekali mencabar garis merah ini,” katanya malam ini.
Hadir sama Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh dan Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.
Mohamad berkata, penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bukan kerana ghairah kuasa, sebaliknya atas titah Yang di-Pertuan Agong demi memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara.
Menurut beliau, UMNO bersedia menjadi pembangkang ketika itu, namun negara memerlukan penyelesaian segera bagi mengelakkan ketidaktentuan politik dan ancaman kepada ekonomi rakyat.

“UMNO bertindak sebagai sauh kestabilan negara dan kuasa pengimbang dalam Kabinet,” katanya.
Mengulas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, beliau mengakui prestasi UMNO masih belum memuaskan meskipun mencatat kemenangan.
Katanya, penolakan rakyat Sabah terhadap parti-parti dari Semenanjung perlu dijadikan iktibar dan petunjuk bahawa UMNO belum pulih sepenuhnya serta perlu menambah baik pendekatan, khususnya dalam memperjuangkan agenda tempatan.
Mohamad juga menolak dakwaan UMNO sekadar mengikut telunjuk rakan gabungan dan menegaskan parti itu memainkan peranan penting sebagai penyemak imbang dalam kerajaan.
Katanya, antara tindakan UMNO ialah menangguhkan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA), menolak pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan serta memperkukuh agenda ekonomi Bumiputera melalui institusi seperti MARA, TEKUN dan PUNB.

Beliau berkata, UMNO memberi penekanan terhadap dasar ekonomi berteraskan masa depan, termasuk Revolusi TVET Negara serta penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) bagi melindungi kebajikan pekerja gig.
Katanya, parti itu juga perlu melakukan perubahan drastik termasuk pendigitalan UMNO, pendekatan baharu kepada generasi muda serta penawaran penyelesaian konkrit berkaitan gaji, pekerjaan dan kos sara hidup menjelang PRU-16.
Dalam ucapannya, Mohamad turut memberi mandat khusus kepada sayap parti iaitu Wanita UMNO sebagai agen ekonomi rumah tangga, Pemuda UMNO sebagai pendesak dan pembangkang konstruktif dalam kerajaan manakala Puteri UMNO sebagai jentera perang digital dan penghubung dengan pengundi muda.
Beliau menegaskan UMNO akan kembali bertanding sebagai Barisan Nasional pada PRU-16 dengan kekuatan sendiri dan tekad untuk kembali menjadi parti pengayom dan tiang seri negara. — Edisi 9

