PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa Malaysia memerlukan politik yang matang dan berteraskan muafakat selain saling menghormati antara satu sama lain.
Ketika menyampaikan ucapan selamat bersidang kepada para perwakilan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, Anwar berkata, negara juga memerlukan politik yang berupaya untuk bekerja bersama demi kestabilan, kemakmuran serta masa depan yang lebih adil dan inklusif untuk semua rakyat.
“Dalam landskap politik dan ekonomi yang kian mencabar, kekuatan sebenar tidak lahir daripada perbezaan yang terus dipicu, sebaliknya daripada kesepaduan yang diperkukuh, kebijaksanaan yang diraikan, serta iltizam bersama untuk mendahulukan kepentingan rakyat dan negaram,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.
PAU 2025 berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur bermula dengan persidangan sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dan diikuti persidangan UMNO pada Jumaat dan Sabtu.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR mendoakan agar persidangan UMNO kali ini berlangsung dengan tertib, penuh wacana yang bernas yang berpaksi pada rakyat, serta menyumbang kepada pengukuhan perpaduan nasional demi sebuah Malaysia yang madani.
Sebelum ini, Pemuda UMNO menerusi Konvensyen Khas yang diadakan minggu lalu menggesa pucuk pimpinan partinya keluar daripada gabungan kerajaan perpaduan dan menjadi pembangkang sehingga pi lihan raya umum akan datang.
Ketuanya, Datuk Dr Akmal Saleh langkah itu bagi memperkukuhkan parti serta menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) dengan kerjasama Pas.
Langkah itu seiringi perkembangan terkini politik tanah air berkaitan hubungan UMNO dengan DAP dan Pas dengan Bersatu.
Beberapa penganalisis politik memberi bayangan bahawa PAU 2025 akan menjadi titik penentu sama ada UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bersama dengan PH memasuki Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) atau sebaliknya. – Edisi 9

