KEMENTERIAN Perladangan dan Komoditi (KPK) memperkenalkan insentif berjumlah RM3.5 juta bagi menyokong peniaga buah kelapa sawit memperoleh pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO).
Menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, insentif itu merupakan langkah proaktif kerajaan bagi membantu peniaga buah kelapa sawit memenuhi keperluan pematuhan semasa, di samping memperkukuh daya tahan rantaian bekalan sawit negara.
Beliai berkata, lebih 3,000 peniaga buah kelapa sawit yang layak di seluruh negara dijangka menerima manfaat namun ia tertakluk kepada syarat dan kelayakan yang ditetapkan.
“Permohonan bagi insentif ini boleh dikemukakan kepada Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) mulai 15 April 2026 melalui sistem e-MSPO,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noraini berkata, inisiatif itu selaras dengan usaha memperkukuh pelaksanaan menyeluruh MSPO 2.0, di samping menyokong agenda negara dalam memastikan industri sawit Malaysia terus berkembang secara mampan, bertanggungjawab dan berdaya tahan.

Jelas beliau, kerajaan menjangkakan langkah tersebut akan membantu memperluas liputan pensijilan dalam kalangan peniaga buah kelapa sawit, seterusnya mengukuhkan keseluruhan ekosistem rantaian bekalan sawit negara.
“Kerajaan akan terus mengambil pendekatan yang bertanggungjawab dan berfokus bagi memastikan industri sawit negara kekal stabil, berdaya saing dan diyakini pasaran,” katanya.
Beliau berkata, dalam keadaan semasa, adalah penting setiap langkah yang diambil dapat memberi sokongan yang berkesan kepada pemain industri, khususnya yang terlibat secara langsung dalam rantaian bekalan sawit negara.
“Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat serta memperkukuh keyakinan terhadap sektor sawit negara di pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya. — Edisi 9

