APAKAH Barisan Nasional (BN) bakal mempertaruhkan calon wanita dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini?
Ini berikutan pengesahan dibuat Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad bahawa pihaknya telah mengemukakan tiga nama untuk dipertimbang oleh pucuk pimpiman sebagai calon PRK tersebut.
Walaupun beliau berkata, Wanita UMNO menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan, namun tiga nama itu dipercayai diminta oleh ibu pejabat parti.
“Sesiapa pun calon yang dinamakan oleh kepimpinan itu, wanita akan sokong dan akan membantu sebaik mungkin untuk memenangkan calon dan kalau calon itu wanita, kita akan mengalu-alukan.
“Kita sudah mengemukakan tiga nama calon tapi akhirnya keputusan kepimpinan mengambil kira pelbagai faktor dan kita mengharapkan yang baik dan yang penting BN yang menang di DUN Mahkota,” katanya seperti dilapor media hari ini.
Kerusi DUN Mahkota kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang dan Exco Wanita UMNO Malaysia pada 2 Ogos lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota di Johor adalah pada 28 September depan manakala 14 September sebagai hari penamaan calon.
Pada Pilihan Raya Negeri Johor Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 5,166 undi.
Pada PRN itu, Sharifah Azizah meraih 16,611 undi dalam saingan empat penjuru menewaskan Taqiuddin Che Man dari Amanah, Mohamad Nor Lingan yang mewakili Perikatan Nasional (PN) serta calon Parti Warisan, Mohamed Noor Suleiman. – Edisi 9