KEJAYAAN jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou meraih emas pertama Malaysia di Sukan Paralimpik Paris 2024 membuktikan atlet kita mampu bersaing di peringkat dunia.
Justeru, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kejayaan tersebut dapat menjadi inspirasu kepada semua rakyat Malaysia.
Beliau berharap, kemenangan diraih Liek Hou itu dapat menjadi pemangkin semangat buat semua kontinjen negara yang sedang berjuang di Paris.
“Kemenangan Cheah Liek Hou dalam acara perseorangan lelaki SU5 ini bukan sahaja telah mengulangi kejayaannya di Paralimpik Tokyo 2020, tetapi juga membuktikan bahawa Malaysia memiliki atlet yang mampu bersaing di peringkat tertinggi dunia.
“Syabas Cheah Liek Hou! Anda adalah inspirasi kepada kita semua.
“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin semangat buat semua kontinjen negara yang sedang berjuang di Paris. Doa kami rakyat Malaysia bersama anda,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.
Semalam, Liek Hou menepati ramalan apabila menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia di Sukan Paralimpik Paris 2024 dalam acara badminton SU5 (kecacatan fizikal) di Porte de La Chapelle Arena.
Pemain berusia 36 tahun itu mengatasi wakil Indonesia, Suryo Nugroho.
Liek Hou membuktikan statusnya selaku juara dunia lapan kali apabila tidak berdepan masalah untuk menewaskan Suryo dengan keputusan 21-13, 21-15 dalam tempoh 41 minit.
Kemenangan menyaksikan Liek Hou yang dibimbing Nova Armada mempertahankan emas dimenanginya pada edisi Tokyo 2020, tiga tahun lalu. – Edisi 9