PENUBUHAN sebuah syarikat perkongsian membabitkan empat negeri ditadbir oleh Pas iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis (SG4) jelas bermotifkan politik dan bukannya perniagaan.
Justeru, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi menilai, syarikat dikenali SG4 itu pasti akan mencetuskan masalah sekiranya ada di antara negeri terbabit dirampas semula oleh Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, ini kerana adalah tidak mustahil Terengganu, Kedah atau Perlis dapat dirampas kembali oleh parti itu dan sudah tentu memberi masalah dari segi pekerja, aset, saham dan lembaga pengarah.
“Tidak pernah empat negeri berkongsi buat satu syarikat. Sanusi pula tidak suka kongsi kongsi. Takut Sanusi kata, “Kedah rugi sejak Tuhan buat dunia ini lagi”.
“Justeru penubuhan syarikat SG4 ini bermotif politik bukan perniagaan. Apa lagi penasihatnya adalah Tun M (Dr Mahathir Mohamad),” katanya hari ini.
Semalam, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis menubuhkan sebuah syarikat dinamakan SG4 Sdn Bhd bagi berkongsi kekayaan dan mengagihkan hasil kepada empat-empat negeri itu secara saksama.
Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, menerusi syarikat tersebut, setiap negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) itu akan memiliki saham dan ekuiti yang sama.
Menurutnya, setiap negeri memiliki 25 peratus saham syarikat tersebut dan ia bagi memastikan negeri yang ketinggalan jauh seperti Perlis, juga mendapat hasil yang sama seperti negeri lain. – Edisi 9