PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi memperkukuhkan skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya sebagai gergasi Asia.
Menurut Perdana Menteri, daripada jumlah tersebut, RM10 juta akan disalurkan oleh kerajaan melalui Kementerian Kewangan manakala RM5 juta hasil komitmen pihak swasta.
Beliau berkata langkah itu juga bagi memastikan Harimau Malaya dapat menjamin kebajikan pemainnya serta menggajikan barisan pengurus dan jurulatih terbaik.
“Kalau kita dapat pengurus dan jurulatih yang betul-betul menunjukkan komitmen mereka biarpun mereka dari luar negara, saya percaya kita mampu mengangkat nama dan kewibawaan Harimau Malaya dalam mewakili negara Malaysia tercinta.
“Kita nak pastikan kemudahan dan kebajikan pemain-pemain bola, pengurus dan jurulatih mereka,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Kewangan hari ini.
Anwar berkata, beliau akan mengadakan pertemuan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) setelah pulang dari lawatan rasmi di Rusia untuk menghadiri Forum Ekonomi Timur, yang bermula hari ini hingga Jumaat.
Beliau juga akan meminta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk segera menyelaraskan penyaluran peruntukan berkenaan selain menugaskan seorang pegawai kanan Kementerian Kewangan untuk memastikan segala urusan kewangan berkaitan teratur.
“Mudah-mudahan selain dapat memacu pertumbuhan ekonomi, kita dapat juga pamerkan (prestasi) bola sepak yang cemerlang dari Malaysia,” katanya.
Anwar turut menegaskan, beliau secara peribadi akan memantau dan membantu dalam usaha memperkukuh pasukan Harimau Malaya.
“Mengenangkan banyak masalah dan rakyat terutamanya orang muda yang minat dengan sukan bola sepak, saya mengambil keputusan untuk secara peribadi memantau dan membantu memperkukuh pasukan Harimau Malaya,” katanya.
Skuad Harimau Malaya yang kini dibimbing secara sementara oleh pengendali dari Sepanyol, Pau Marti akan berentap dalam Pestabola Merdeka menentang Filipina pada Rabu.
Pemenang perlawanan akan beraksi di pentas akhir bertemu sama ada juara bertahan, Tajikistan yang melayan Lubnan dalam satu lagi perlawanan.
Pada masa kini skuad kebangsaan berada di ranking ke-134 dunia dan berpeluang untuk memperbaiki kedudukan sekiranya mencatatkan keputusan baik dalam kejohanan dalam kalender FIFA tersebut. – Edisi 9