PERTAMBAHAN aset laut dan udara serta penambahan sumber manusia dan teknologi terkini antara strategi yang dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam menangani isu pencerobohan di zon maritim di negara ini.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, strategi berkenaan adalah langkah mitigasi yang dirancang oleh Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan sempadan perairan negara sentiasa terpelihara.
Zawawi berkata, hasil rondaan dan operasi yang dijalankan di seluruh perairan negara, Maritim Malaysia merekodkan 434 kes tangkapan vesel nelayan asing (VNA) sejak 2020 sehingga Julai lalu yang terdiri daripada VNA Vietnam (308), Indonesia (81), Thailand (35) dan China (10).
Beliau berkata, angka berkenaan hanya sebahagian daripada jumlah VNA yang memasuki perairan negara berikutan terdapat kekangan yang dihadapi seperti kekurangan kapal dan bot kerana perlu menjalani penyelenggaraan berjadual selain aset yang dimiliki telah uzur.
“Melihat kepentingan tersebut, kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memastikan sebuah Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV1) yang dinamakan KM Tun Fatimah siap dibina dan beroperasi di perairan Laut China Selatan.
“Di samping itu KDN telah melaksanakan perolehan empat buah helikopter bersaiz sederhana model Agusta Westland (AW) 189 untuk agensi ini dalam mempertingkatkan lagi pemantauan udara di Zon Maritim Malaysia khususnya di kawasan sempadan perairan negara terutamanya bagi keperluan di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Simposium Keselamatan Negara 2024 yang telah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Putrajaya, semalam.
Turut hadir Ketua Setiausaha KDN, Datuk Haji Ruji bin Haji Ubi, Timbalan -Timbalan Ketua Setiausaha KDN serta Ketua-Ketua Pengarah Jabatan dan Agensi di bawah KDN.
Zawawi berkata, daripada jumlah kes VNA berkenaan, Maritim Malaysia merekodkan seramai 3,694 orang nelayan asing telah ditahan dalam tempoh 2020 hingga Julai lalu atas pelbagai kesalahan.
Beliau turut mengulas hasrat Saifuddin untuk KDN terus menjadi penyumbang kedudukan negara agar kekal berada dalam 10 negara paling aman di dunia berdasarkan Indeks Keamanan Global (GPI).
Beliau berkata, Maritim Malaysia akan memastikan keselamatan maritim negara terus berada pada tahap optimum sekaligus menjadi laluan selamat kepada kapal dagang yang melalui perairan negara.
Manakala aktiviti ekonomi juga dapat dilakukan tanpa sebarang ketakutan dalam kalangan nelayan tempatan serta pengusaha bot komersial.
Beliau juga berharap, keselamatan yang dipertingkatkan ini juga dapat menarik lebih banyak pelabur asing untuk masuk ke dalam negara memandangkan Malaysia telah diiktiraf sebagai salah sebuah negara selamat di dunia. – Edisi 9