27 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 17, 2024

Wanita UMNO mahu buang stigma sekadar ‘pergerakan politik’

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

KETUA Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Noraini Ahmad mahu membuang stigma sayap parti itu sebagai sekadar ‘pergerakan politik’ yang menghalangnya memanfaatkan kolam bakat luar biasa yang lain.

Sedangkan realitinya, menurut beliau, Malaysia mempunyai ramai wanita hebat dan luar biasa bermula dengan para usahawan, aktivis, pemimpin NGO, pakar pelbagai bidang serta para cendekiawan yang meneroka sempadan baharu ilmu dan wacana negara.

Sehubungan itu, beliau akan menggerakkan perubahan iaitu menjadikan Wanita UMNO sebagai hab inovasi bagi usahawan wanita berkongsi dan mengembangkan idea.

“Kedua, Wanita UMNO akan menjadi platform yang mana aktivis sosial dan pemimpin NGO berkolaborasi untuk membincangkan isu-isu rakyat.

“Ketiga, Wanita UMNO akan diposisikan sebagai gedung pemikir, yang menghimpunkan pakar-pakar Wanita, yang mementaskan perbincangan intelektual, dan mencadangkan dasar-dasar, yang mendefinisikan masa depan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar sempena Persidangan Agung Pergerakan Wanita UMNO Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Advertisements

Noraini berkata, dalam arena ekonomi, Wanita UMNO perlu memanfaatkan sepenuhnya kedudukan Malaysia yang menjuarai industri halal.

Katanya, industri halal global kini bernilai US$2.3 trilion dan dijangka mencecah US$3.3 trilion menjelang 2025 manakala nilai eksport produk halal Malaysia sudah mencecah RM54 bilion pada tahun lepas.

“Bayangkan apa yang boleh kita capai jika kita menggembleng tenaga wanita UMNO sepenuhnya dalam sektor ini!

“Justeru, ‘Hub Usahawan One-nita’ yang kita ikhtiarkan akan melibatkan usahawan Wanita secara terus dalam industri halal. Kita hubungkan usahawan-usahawan dengan bantuan- bantuan, geran, latihan dan sebagainya yang disediakan oleh pelbagai agensi seperti MARA, FELCRA, RISDA dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, Wanita UMNO juga akan menjadi peneraju dalam menyelesaikan masalah wanita yang meninggalkan kerjaya kerana tekanan menguruskan keluarga sehingga memberi kerugian besar kepada negara.

“Kita akan menjadi suara yang lantang dalam menuntut dasar-dasar mesra keluarga di tempat kerja dan waktu kerja yang anjal. Kita akan menjadi pemangkin dalam mewujudkan ekosistem sokongan untuk ibu-ibu bekerja,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Agong titah siasatan segera, menyeluruh isu rumah amal GISBH

YANG di-Pertuan Agong,  Sultan Ibrahim menitahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta...

Lagi Artikel Berkaitan