KETUA Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh menghulurkan tangan mengajak ahli-ahli politik Melayu dari setiap parti politik untuk sama-sama bergerak ke arah penyatuan Melayu.
Ini kerana, menurut beliau, adalah menjadi kerugian besar sekiranya kaum majoriti di negara ini dihimpit permasalahan yang gagal diselesaikan menerusi kesepakatan parti-parti politik.
Justeru beliau menyeru semua ahli politik Melayu membuang ego masing-masing memandangkan . dalam soal permasalahan orang Melayu, kita berhadapan dengan isu yang lebih besar dan menekan.
“Hari ini, saya hendak berpesan kepada orang-orang politik, baik dalam UMNO mahupun di luar UMNO, khususnya ahli politik Melayu, sudah-sudahlah bertelagah yang akhirnya buat Melayu pecah-belah.
“Hakikatnya, orang Melayu sudah bosan dan jemu dengan skrip lama dalam dunia politik Melayu. Bila tak setuju, lari buat parti baharu. Bila tak sekepala, tikam sana, lompat sini. Bila yang bawah bagi teguran, kena cop khianat dan kuat melawan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Persidangan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, antara isu yang masih membelenggu orang Melayu ialah kemiskinan tegar yang mana orang Melayu masih mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 7.2 peratus.
Penguasaan korporat bumiputera di Bursa Malaysia pula jelas beliau, hanya 7 peratus dan dalam pasaran ekuiti, pegangan bumiputera kurang daripada 20 peratus.
Akmal berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Penjara Malaysia, setakat tahun 2020, sebanyak 69.7 peratus jumlah banduan adalah terdiri daripada Melayu dan bumiputera.
“Belum lagi dihitung dalam isu pengangguran, keciciran pendidikan, pemilikan rumah – yang kita semua maklum, tanpa statistik dan angka sekalipun, kita tahu di mana kedudukan orang Melayu kita. Apatah lagi dala bidang politik yang memaksa kita bersaing pula sesama Melayu
“Permasalahan yang saya nyatakan tadi bukan masalah untuk difikirkan oleh UMNO sahaja, tetapi juga masalah yang perlu difikirkan oleh orang Melayu dalam PKR, orang Melayu dalam Pas, orang Melayu dalam Amanah, orang Melayu dalam Bersatu, bahkan juga orang Melayu dalam DAP,” katanya.
Beliau berkata, rumah UMNO sudah banyak menjadi saksi penyatuan orang Melayu.
“Ada yang bertelagah, rumah UMNO inilah tempat kembali bermuhasabah. Ada yang merajuk, rumah UMNO inilah tempat kembali berpujuk. Ada yang marah, kecewa dan geram, tetapi tradisi rumah UMNO ini bukannya menyimpan dendam.
“Kita boleh berbeza pendapat dalam berpolitik, tetapi dalam mencari jawapan kepada permasalah Melayu, Islam dan Raja-raja, ayuh, bersatulah,” katanya.
Dalam pada itu, Akmal berkata, pihaknya akan mengadakan Konvesyen Pemuda UMNO Felda bagi membincang dan menghasilkan resolusi-resolusi bagi menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh generasi kedua dan ketiga Felda.
Untuk itu, beliau berkata Jawatankuasa Pemuda UMNO Felda akan ditubuhkan dan digerakkan ke seluruh cawangan Pemuda UMNO di kawasan tanah rancangan itu di seluruh negara.
“Saya bagi tempoh enam bulan dari sekarang, untuk menggerakkan keseluruhan jentera Pemuda UMNO di setiap Felda, bagi mengumpul isu-isu yang dibangkitkan oleh generasi baharu FELDA, dan semuanya akan kita himpunkan di dalam Konvensyen Pemuda UMNO Felda pada penghujung tempoh enam bulan ini,” katanya.
Beliau berkata, hasil resolusi konvensyen tersebut akan diserahkan kepada pihak kerajaan, Felda dan agensi-agensi pemegang taruh yang berkaitan.
“End game kita, kita mahukan kepentingan generasi baharu Felda ini terbela dan seterusnya dapat memaksimumkan potensi mereka. Dan kalau resolusi-resolusi ini tidak dilayan, kita akan bangkit bersuara dengan skala yang lebih besar,” katanya. – Edisi 9