25.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, September 8, 2024

Sayap UMNO diminta bahas topik utama, bukan ‘politik toksik’

Mesti Baca

TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO membahaskan topik-topik utama politik tanah air dan bukannya ‘politik toksik pada perhimpunan agung sayap parti itu, esok.

Mohamad berkata, ini kerana ‘politik toksik’ tidak memberi apa-apa manfaat sebaliknya hanya menimbulkan kebencian antara satu sama lain.

“Saya menyentuh beberapa perkara tadi berkenaan politik toksik yang melanda negara kita, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia.

“Kita lihat betapa fitnah-memfitnah dan cerca-mencerca itu… bak orang kata wadah utama untuk mereka menarik hati pengundi-pengundi. Tapi Alhamdulillah, di Gua Musang tempoh hari, di Nenggiri kita tak terperangkap dengan taktik begitu.

“Jentera kita tidak mempedulikan apa saja tohmahan-tohmahan mereka, bahkan kita buat kerja, berjumpa dengan seramai mungkin pengundi-pengundi di kawasan Nenggiri dan akhirnya agak jelas, orang kata dah muak dah, mencaci, mencerca, mengeluarkan kata-kata kesat kepada seseorang.

Mohamad Hasan berucap di hadapan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumpur. – Foto: UMNO Online

“Saya harap supaya UMNO… kita jangan terjebak dengan ‘politik toksik’ seperti itu. Kita bahaskan segala cercaan, tomahan mereka itu dengan data, dengan hikmah dan juga dengan rasional yang mungkin supaya kita tidak pula merendahkan matabat politik UMNO ini ke tahap yang kita sendiri tak suka orang melakukan kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan secara serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2024 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur malam ini.

Turut serta Naib-naib Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Abd Ghani.

Hadir sama Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Noraini Ahmad; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.

Advertisements

Mohamad berkata, beliau juga risau dengan kecenderungan pihak-pihak tertentu yang menggunakan agama Islam sebagai untuk berpolitik.

“Menggunakannya dengan baik tak apa, Alhamdulillah… seperti yang saya katakan tadi bahawa Islam ini membawa kemajuan… kesejahteraan tetapi menggunakannya untuk kita merendahkan martabat orang, menggunakannya untuk mencerca orang, saya tak yakin itu sesuatu yang perlu dilakukan terutamanya agama suci Islam ini.

“Jadi kita tak mahu. Saya kata tadi seolah-olah ataupun seakan agama Islam ini telah ‘dihijack’ (dirampas) di Malaysia. Islam ini cuma kepunyaan segelintir ataupun sekumpulan orang sahaja dan mereka menuduh dengan macam-macam.

“Jika tidak bersama mereka, kita dituduh bukan islamik dan macam-macam lagi. Jadi ini terjadi semasa di Nenggiri tempoh hari dan macam-macam lagi,” kata Menteri Luar itu.

Turut menjadi kebimbangan beliau ialah apabila golongan ‘milenia’ mencorakkan politik sesebuah negara seperti mana berlaku di beberapa buah negara lain.

“Banyak negara tumbang, baru-baru ini Perancis, selepas itu Bangladesh tumbang disebabkan oleh golongan ‘milenia’, generasi Z ini yang menggunakan media sosial, menggunakan alam maya untuk mereka berkomunikasi dan berpolitik.

“Mereka ini tidak menganggotai mana-mana parti tetapi mereka menjadi pempengaruh dan mereka dapat menjalankan apa juga kempen-kempen yang berkesan melalui media sosial,”kata beliau.

Justeri, Mohamad berharap ketiga-tiga sayap UMNO yang masih muda membuat gerak kerja yang berasaskan alam maya tersebut. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK Mahkota: BN sekali lagi pertaruh calon Pemuda 

BARISAN Nasional (BN) sekali lagi menpertaruhkan wakil Pemuda UMNO sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri...

Lagi Artikel Berkaitan