POLITEKNIK Sultan Idris Shah (PSIS) menjalinkan kerjasama dengan 11 industri dan agensi bagi meningkatkan kualiti graduan lepasan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang memenuhi keperluan industri.
Kalangan industri dan agensi yang terbabit ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Selangor, DKM Academy, Empayar Daun Hijau Niaga, Persada Consultancy, River Care Associates Sdn. Bhd dan Barb Legasi Sdn. Bhd. (Turboads Academy).
Industri lain ialah Imika Sungai Besar, Cofeology Café & Restaurant, Hijjaz Beyond Consultancy, Teras Santan Enterprise, Universiti Malaysia Perlis dan Universiti Malaysia Terengganu.
Pengarah PSIS, Haslinda Abd Hamid berkata, kerjasama dengan sektor kerajaan, swasta, pemain industri adalah kunci untuk menggapai hasrat tersebut.
“Selaras dengan wawasan institusi untuk memajukan kualiti dan kebolehpasaran graduan, pihak PSIS sentiasa sedaya upaya berusaha meningkatkan keterlibatan pihak-pihak industri bagi mendapatkan nasihat, pandangan dan kepakaran daripada mereka buat panduan bakal graduan kita di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena majlis menandatangani dokumen hasrat yang diadakan sempena Hari Kerjaya PSIS di Sabak Bernam, Selangor semalam.
Hadir sama Timbalan Pengarah Akademik PSIS, Zainuddin Kasmuri dan Ketua Unit Corporate Industrial Service & Employment Center (CISEC) PSIS, Noor Aziyah Said.
Beliau berkata, dengan kerjasama seumpama itu, turut membuka peluang kepada pelajar untuk membuat latihan industri serta industri memilih graduan yang berpotensi untuk terus diserap berkhidmat dengan agensi masing-masing. – Edisi 9