TABUNG Pendidikan Melayu mengagihkan sumbangan pendidikan sebanyak RM955,000 bagi membantu para pelajar yang memerlukan untuk melanjutkan pelajaran di seluruh negara.
Pengerusinya, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, sumbangan tersebut diserahkan kepada 13 Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri yang kemudiannya akan diagihkan melalui UMN0 Bahagian.
Beliau berkata, ini merupakan aktiviti utama sejak Tabung Pendidikan Melayu ditubuhkan sempena Perhimpunan Agung UMNO yang lalu.
“Selaku Pengerusi Tabung Pendidikan Melayu di bawah Sekretariat Pendidikan dan Penyelidikan Melayu UMNO, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penyumbang iaitu satu orang RM10 sahaja.
“Jika 1 juta yang menyumbang bermakna RM10 Juta akan terkumpul. Ini adalah Agenda Pendidikan Melayu paling besar yang perlu sokongan orang Melayu. Tabung ini terbuka untuk semua orang Melayu tanpa mengira parti politik,” katanya hari ini.
Majlis penyerahan cek sumbangan tersebut disampaikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sejurus berakhir Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur semalam.
Ketika pelancaran tabung itu tahun lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tabung tersebut terbuka kepada mana-mana pelajar Melayu dan bumiputera yang memerlukan bantuan.
“Tabung Pendidikan Melayu digagaskan ideanya oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi yang lepas.
“Ia bagi membantu anak-anak Melayu yang memerlukan bantuan, contohnya (pelajar) yang menghadapi musibah atau tragedi secara sekali beri atau yang mahu melanjutkan pelajaran tetapi bermasalah untuk membayar wang pendahuluan,” katanya. – Edisi 9