BEKAS Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya dicadang untuk hadir sama dalam program himpunan 24,000 huffaz yang dijangka berlangsung bulan depan.
Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh berkata, dengan itu Latheefa yang juga peguam hak asasi dapat mendengar sendiri aluan ayat suci al-Quran sekali gus membersihkan hatinya.
Pelawaan itu berikutan tindakan Latheefa yang mengkritik kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa cuba menonjolkan mereka lebih mengangkat isu Melayu dan Islam berbanding Perikatan Nasional (PN).
“Ini bukan mahu tunjukkan siapa lebih Islam. Tetapi tanggungjawab sebagai pemimpin negara Islam yang perlu memartabatkan agama Islam tidak kira kerajaan mahupun pembangkang
“Jemput minah (Latheefa) ini datang nanti untuk dengarkan ayat al-Quran masa program himpunan huffaz nanti. Mana tau terus bersih hati dia tak adalah koyak sangat,” katanya hari ini.
Ketika merasmikan Program Pra-Tahfiz Kemas negeri Kelantan di Gua Musang Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, satu himpunan huffaz akan diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur bulan depan.
Beliau berkata, himpunan yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri itu dijangka menghimpunkan lebih 24,000 huffaz dari seluruh negara.
Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, himpunan tersebut merupakan kesinambungan program sa yang diadakan pada tahun lalu membabitkan 23,000 pelajar maahad tahfiz dari seluruh negara.
Ekoran itu, Latheefa menyifatkan program tersebut sebagai “gimik mahal” kerajaan bagi menunjukkan ia lebih mengangkat Melayu dan Islam berbanding pesaing politiknya.
Beliau turut mengkritik Zahid yang menurutnya tanpa segan silu mengakui matlamat politik di sebalik acara tersebut.
“Satu lagi gimik mahal kerajaan Madani untuk menunjukkan mereka lebih Islamik dan lebih Melayu daripada PAS-PN. Zahid sendiri tanpa segan silu mengaku matlamat politik di sebalik acara ini.
“Apa-apa pun, bagaimanakah sejumlah wang yang banyak dibelanja bagi mengumpulkan 24,000 huffaz pada acara sekali anjur begini menjadi satu bentuk komitmen yang sebenar kepada Islam?” soalnya di X pada Ahad. – Edisi 9