PEMENANG pingat gangsa badminton beregu lelaki Sukan Olimpik Paris 2024, Soh Wooi Yik mengakui beliau menghadapi perasaan yang bercampur-baur sepanjang tiga bulan terakhir sebelum beraksi di temasya tersebut.
Beliau bersama pasangannya, Aaron Chia yang mengulang pencapaian di Tokyo empat tahun lalu berkata, banyak perkara berlaku dalam hidupnya yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini.
“Mulai dari bahagia, marah, sedih, dan juga haru turut menjadi perasaan yang muncul pada tiga bulan ini, tetapi amat bangga kami telah mengharumkan nama Malaysia.
“Mulai dari mengharapkan sesuatu yang terlalu tinggi, terasa sangat berat, tidak dapat emas yang negara perlukan pasti akan ada rasa kecewa yang seringkali hinggap di dalam dada,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Bagaimanapun, pemain kelahiran Melaka itu sedar bahawa Olimpik bukan sesuatu yang berlaku serta perlu dihadapi tetapi sebaliknya ia mengenai bagaimana untuk bertindak balas terhadapnya.
“Saya amat gembira kita tidak putus asa sehingga ke akhir saat ! Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakyat Malaysia dan Team Mas yang menyokong kita di belakang, depan TV dan stadium,” katanya.
Dalam aksi perebutan pingat gangsa pada Ahad, pasangan Wooi Yik-Aaron hampir tewas apabila ketinggalan 16-20 pada set kedua setelah tewas set pertama 16-21 kepada Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark.
Bagaimanapun, dalam perlawanan di Porte de La Chapelle Arena itu, pasangan tersebut yanag menunjukkan semangat juang tinggi berjaya mengutip enam mara berturut-turut sehingga menang 22-20 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan sebelum menang 19-21. – Edisi 9