SASARAN emas yang dikejar oleh kontinjen negara dalam temasya Sukan Olimpik Paris 2024 hanya digantikan dengan dua gangsa setakat ini, kedua-duanya daripada gelanggang badminton.
Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menjadi atlet kedua menyumbang gangsa selepas menumbangkan Lakshya Sen dari India 13-21, 21-16, 21-11 dalam aksi merebut pingat tersebut, sebentar tadi.
Semalam, pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melakar kemenangan penuh dramatik menewaskan pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19 sekali gus mengutip pingat pertama Olimpik kali ini.
Dalam aksi di Arena Porte de la Chapelle itu, Zii Jia yang bermula agak perlahan dan gagal melakukan penguasaan gelanggang yang baik dan aku di set pertama dengan 13 -21.
Bagaimanapun, pemain profesional negara dari Kedah itu kembali bangkit di set kedua dan menang 21-16 bagi mengheret permainan ke ‘rubber-set’.
Set ketiga menyaksikan Zii Jia menemui sentuhan untuk menjinakkan pemain muda India itu dengan 11-6, seterus menamatkan perlawanan dengan 21-11.
Sementara itu, ketika ditemu bual wartawan Malaysia, Zii Jia bersyukur kerana dapat menyumbangkan pingat gangsa untuk negara walaupun matlamat asal membawa pulang pingat yang lebih tinggi.
“Kemenangan ini juga membuktikan yang keputusan saya untuk menyertai karier profesional tidak salah kerana sejak tiga tahun lepas saya sering mendapat pelbagai berita kurang enak setiap kali membacanya di media,” katanya.
Zii Jia meletakkan sasaran untuk menggondol pingat emas dalam Olimpik Los Angeles 2028 nanti dalam usia yang menginjak 30 tahun.
Kejayaan meraih gangsa merupakan pencapaian terbaik Zii Jia selepas empat tahun lalu di Tokyo, dia terkandas di pusingan 16, tewas kepada Cheng Long dari China. – Edisi 9