31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Bot tanpa nombor berdaftar ditahan, bawa ketam hidup

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AGENSI Penguatkasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor telah menahan sebuah bot fiber di Pelabuhan Klang sekitar jam 12.41 tengah hari semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, penahanan itu adalah hasil maklumat Pusat Kawalan Kawasan (ACC) SWASLA Klang yang mengesan kedudukan bot mencurigakan kira-kira jam 11.05 pagi di sekitar Perairan Tanjung Gabang.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot fiber bewarna biru putih tanpa nombor pendaftaran itu dikendalikan oleh dua lelaki warga tempatan masing-masing berumur 42 dan 48 tahun.

“Daripada pemeriksaan lanjut menemukan, 43 kotak gabus putih mengandungi ketam dianggarkan berharga RM9,000 yang diletakkan di dalam bot,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Katanya, siasatan awal ke atas kru bot mendapati, mereka membeli ketam dari Pulau Ketam dan ingin menuju ke Tanjung Gabang.

“Kesemua barangan beserta bot dan kru ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk siasatan lanjut.

“Sehubungan dengan itu, kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana disyaki melakukan kesalahan beroperasi tanpa lesen bot yang sah dan di bawah Akta Perikanan 1985” katanya.

Ujar beliau, Maritim Malaysia memandang serius sebarang salah laku di laut dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan aktiviti jenayah di sepanjang Zon Maritim Malaysia.

“Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan