KERAJAAN telah membatalkan tender kontraktor Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang bernilai RM7.2 bilion.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembatalan tender tersebut dibuat oleh Kementerian Kewangan dengan tawaran tender bagi projek itu akan dibuka semula.
“Kita tahu ada sedikit gangguan dari segi pelaksanaan dan yakinlah sekiranya tata etika dan peraturan diikuti akan dilakukan dengan segera, insya-Allah projek itu akan siap dalam tempoh yang ditentukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Santunan Kasih Ramadan Negeri Kelantan 2023 di Pusat Transformasi Ilmu Bukit Tiu, Machang, Kelantan malam tadi.
Yang turut dihadir Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan sebelum ini berkata syarikat yang terbabit dalam projek Program Jana Wibawa yang dilaksanakan ketika pandemik COVID-19, berpeluang menyertai tender terbuka yang akan dikeluarkan kerajaan. – Edisi 9

