KAPAL tangki Singapura SUCCESS 9 yang dinaiki individu tidak dikenali pada 10 April lalu telah ditemukan dan semua 20 anak kapal dalam keadaan selamat, kata Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) hari ini.
Dalam satu kenyataan, MPA berkata SUCCESS 9 dikesan berada di luar pantai Abidjan, Ivory Coast pada kira-kira 5 petang waktu Singapura pada 15 April.
“Sebuah kapal komersil MONJASA SPRINTER yang kebetulan berada di kawasan itu telah menerima panggilan kecemasan daripada SUCCESS 9.
Penguasa MONJASA SPRINTER kemudian melaporkan lokasi SUCCESS 9 kepada Pegawai Keselamatan Syarikat (CSO).
“OMS telah memaklumkan perkara itu kepada MPA, yang kemudian segera memberitahu Pusat Maklumat Bersepadu (IFC) dan Pusat Penyelarasan Menyelamat Maritim Wilayah Monrovia (MRCC).
Sebuah kapal peronda Tentera Laut Ivory Coast telah dikerahkan untuk mengesan SUCCESS 9.
“Semua anak kapal termasuk dari Singapura dalam keadaan sihat dan selamat. Kapal itu telah selamat tiba di pelabuhan Abidjan,”kata MPA.
Menurut MPA, pihaknya berkoordinasi dengan pemilik kapal dan agensi multinasional melalui IFC di Pusat Kawalan Changi dan MRCC Wilayah Monrovia untuk mengesan kapal itu sejak 10 April.
Agensi multinasional itu termasuk Maritime Domain Awareness for Trade – Gulf of Guinea bersama pasukan keselamatan serantau, tentera laut Perancis, pengawal pantai dan pentadbiran maritim dari Ivory Coast, Ghana, Guinea, Liberia, Sierra Leone dan Nigeria.
Semua kapal komersil yang berhampiran dan melalui kawasan itu turut diminta membantu dalam usaha mengesan SUCCESS 9, menurut MPA. – BERNAMA