26.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

9 ditahan seleweng diesel di Bukit Kayu Hitam

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEMBILAN individu terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan enam warganegara Thailand ditahan pihak penguatkuasa kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan minyak diesel.

Penahanan itu dibuat dalam serbuan dilakukan pihak polis ke atas premis pemborong minyak diesel di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd. Yusof berkata, kementerian tersebut telah menerima serahan kes tersebut daripada pihak polis kira-kira pukul 1 petang semalam melibatkan sitaan diesel sebanyak 135,760 liter bernilai kira-kira RM291,884.

Selain itu katanya, sebanyak tujuh lori, 10 unit skid tank, tiga mesin pam minyak, lapan ‘nozzle’ pam, dua unit tangki silnder dan dua unit alat kawalan jauh pintu pagar merupakan antara barangan dirampas.

“Enam daripada tujuh lori yang disita memiliki nombor plat Thailand.

“Selain itu, wang tunai berjumlah THB 192,902 (RM25,300) turut dirampas. Mereka yang ditahan berusia antara 20-an hingga 50-an. Nilai keseluruhan barangan yang disita dianggarkan lebih RM1 juta,”katanya menerusi kenyataan di sini.

Advertisements

Tambahnya, siasatan lanjut kini dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama peraturan 9 (2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Jika sabit kesalahan, mana-mana individu perseorangan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kedua, mereka boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta untuk kesalahan pertama dan tidak lebih RM5 juta untuk kesalahan kedua,” katanya.

Menurutnya, KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yng didapati terlibat dengan sindiket mahu pun aktiviti penyelewengan barang-barang kawalan tersebut.

“Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613).

“Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613, mereka yang didapati bersalah boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan itu dilakukan, atau RM5 juta, bergantung mana yang lebih tinggi,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan