AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyatakan kesediaan mereka untuk menggalas tanggungjawab sebagai agensi peneraju sektor perairan dalam usaha membanteras ketirisan dan penyeludupan diesel bersubsidi.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pihaknya menyambut baik ketegasan Kerajaan Madani dalam memperkukuh kawal selia serta penguatkuasaan di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Jelas beliau, penetapan Maritim Malaysia sebagai agensi peneraju sektor perairan merupakan satu amanah dan kepercayaan besar yang akan digalas dengan penuh komitmen, berteraskan integriti serta dilaksanakan secara cekap, efektif dan berimpak tinggi.
“Maritim Malaysia komited untuk memperkukuh dan memperhebat operasi penguatkuasaan di perairan negara, khususnya dalam membanteras aktiviti penyeludupan serta pemindahan minyak secara haram melalui kaedah kapal ke kapal (STS) termasuk kegiatan bunkering tidak sah di perairan Malaysia.
“Maritim Malaysia akan terus memastikan setiap tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara tegas, terancang dan bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain bagi menutup sebarang ruang ketirisan yang boleh menjejaskan kepentingan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP) memutuskan tindakan tegas termasuk penggantungan serta pembatalan kelulusan kad fleet sekiranya berlaku penyalahgunaan di bawah SKDS dan subsidi diesel nelayan.
Dalam pada itu, Mohd Rosli menegaskan, pengukuhan kawal selia terhadap kegiatan bunkering serta penubuhan Pasukan Khas Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) di Sabah, Sarawak dan Labuan akan memperkasakan lagi keberkesanan operasi di lapangan.
“Pendekatan operasi bersepadu melalui Ops Tiris 4.0 ini akan mempertingkatkan koordinasi antara agensi di peringkat Persekutuan dan negeri, sekali gus memperkukuh keupayaan penguatkuasaan maritim negara secara menyeluruh,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu mendedahkan, sepanjang tahun 2025, Maritim Malaysia telah merekodkan rampasan bahan api melibatkan nilai keseluruhan hampir RM6.5 juta, merangkumi 13,290 liter diesel dan 247,333 liter petrol.
“Statistik ini jelas menunjukkan keseriusan serta keupayaan Maritim Malaysia dalam membanteras ketirisan bahan api di perairan negara, dan usaha ini akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau turut menegaskan, Maritim Malaysia akan meningkatkan pemantauan strategik termasuk penggunaan teknologi satelit, kerjasama serantau, mempergiatkan rondaan dan risikan di kawasan panas yang dikenal pasti sebagai laluan utama bagi mengekang aktiviti penyeludupan bahan api yang boleh menjejaskan keselamatan perairan negara.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap subsidi Kerajaan. Setiap pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan tanpa pengecualian,” tegasnya.
Sementara itu Mohd Rosli turut menyeru orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti mencurigakan atau aduan jenayah maritim ke Pusat Operasi Maritim Negeri berhampiran atau menghubungi talian kecemasan 999 untuk tindakan segera. — Edisi 9

