DUA lelaki ditahan polis selepas disyaki menggunakan lambang dan darjah kebesaran membawa gelaran ‘Datuk Seri’ yang tidak diiktiraf di Bentong, Pahang, 4 April lalu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kedua-dua suspek yang merupakan warganegara tempatan masing-masing berusia 44 dan 45 tahun.
Menurutnya, satu serbuan dilakukan pada pukul 8.55 pagi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan di rumah dan pejabat suspek, pihak polis merampas watikah pelantikan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (S.S.A.P), pakaian istiadat lengkap, set bintang kebesaran dan lambang darjah kebesaran ‘Datuk Seri’ yang diletakkan pada ruangan nombor pendaftaran kenderaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Lambang dan anama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.
“Seorang lagi suspek yang berusia 45 tahun didapati turut terlibat dalam aktiviti pemberi pinjam wang tanpa lesen dan disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujar Zaiham, kedua-dua suspek telah dituduh di Mahkamah Sesyen Raub semalam.
Menurutnya, suspek berusia 49 tahun dituduh di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan jaminan ditawarkan sebanyak RM10,000.
“Manakala seorang lagi suspek dituduh di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan jaminan ditawarkan RM1,000,” katanya.
Ujarnya, kes akan disebut semula pada 10 April.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf demi kepentingan peribadi bagi tujuan tertentu.
“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki tentang aktiviti-aktiviti penyamaran seperti ini kepada pihak polis,” katanya.
-EDISI9