Tuesday, July 21, 2026

Prestasi ekonomi kerajaan negeri Pahang membanggakan – Zahid

Mesti Baca

PRESTASI ekonomi Kerajaan Negeri Pahang yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN) membanggakan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, ini apabila negeri itu berjaya mengutip hasil sebanyak RM1.3 bilion dan menarik pelaburan asing sebanyak RM16.1 bilion.

“… Semua ini adalah pencapaian hasil kerjasama yang erat antara Kerajaan Persekutuan dan juga Kerajaan Negeri,” kata beliau hari ini.

Zahid berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen BN Pahang di Temerloh hari ini.

Hadir sama Pengerusi BN Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan barisan kepimpinan BN Pahang.

Zahid berkata, bagi tahun 2024, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sendiri telah memperuntukkan sebanyak RM483 juta untuk terus menyokong pembangunan di negeri ini. 

“Ini semua adalah kejayaan-kejayaan yang mampu kita capai hanya dengan mengeratkan perpaduan yang akhirnya menjamin kepada urus tadbir yang lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata, perpaduan erat di antara komponen-komponen parti di bawah Kerajaan Perpaduan amat penting agar dapat menjamin kestabilan politik dan meneruskan usaha khidmat bakti kita kepada rakyat. 

Kemenangan BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tioman dan Pelangai, kata beliau, adalah satu permulaan yang baik namun usaha menarik sokongan dan keyakinan rakyat mesti diteruskan.

“Selain itu, saya juga menyeru agar generasi muda turut diberi perhatian. 

“Mereka bukan sahaja pewaris masa depan parti tetapi juga tonggak utama kepada kejayaan yang kita hasratkan. 

“Pelbagai program anak muda telah diwujudkan oleh Kerajaan Negeri Pahang dan saya berharap kita terus menyelami suara anak muda agar mereka terus yakin dengan kemampuan BN,” kata beliau.

Sebelum itu, Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, konvensyen tersebut adalah manifestasi komitmen bersama memperkukuhkan perpaduan dan merangka strategi berkesan demi memastikan BN terus relevan dalam lanskap politik yang semakin kompleks. 

Katanya, bersempena sambutan BN tahun ini, konvensyen tersebut juga merupakan satu inisiatif untuk menyatukan kekuatan, memperbaharui semangat dan menyiapkan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan