30.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, November 2, 2024

Lebih 4,700 warga Maritim Malaysia selesai tandatangan SSPA

Mesti Baca

KETUA Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah bersama 4,757 pegawai dan anggotanya dari seluruh negara telah selesai menandatangani Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Beliau berkata, SSPA merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperbaharui dan memperkasakan sistem perkhidmatan awam di Malaysia.

Menurut beliau, pelaksanaan SSPA dilihat akan memperkukuh kualiti penyampaian perkhidmatan awam dan Maritim Malaysia menyambut baik pelaksanaan sistem saraan baharu ini.

Beliau berkata, inisiatif tersebut merupakan langkah penting yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mereformasi struktur saraan pegawai awam.

“SSPA bukan sahaja memperkenalkan penambahbaikan dari segi struktur gaji dan imbuhan, tetapi mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif serta peluang peningkatan kerjaya yang lebih jelas kepada anggota perkhidmatan awam, termasuk Maritim Malaysia,” katanya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu pelaksanaan menandatangani opsyen SSPA warga Maritim Malaysia dimulakan dengan sesi taklimat kepada pegawai dan anggota di seluruh negara bermula 30 September hingga 17 Oktober lalu.

Advertisements

Proses kemudiannya diteruskan dengan sesi menandatangani borang opsyen SSPA pada 21 Oktober lalu bermula Pengurusan Tertinggi Ibu Pejabat Maritim Malaysia sehingga peringkat anggota pelaksana yang berakhir pada 25 Oktober lalu.

Opsyen SSPA warga Maritim Malaysia merujuk kepada dua Pekeliling Perkhidmatan iaitu perkhidmatan penguat kuasa maritim dan perkhidmatan guna sama.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan MADANI dan semua pihak yang terlibat dalam merangka dan melaksanakan SSPA.

“Kejayaan pelaksanaan sistem ini bergantung kepada komitmen dan kerjasama semua warga Maritim Malaysia dalam menyesuaikan diri dengan perubahan,” ujar beliau lagi.

Berkuatkuasa pada 1 Disember ini, SSPA diperkenalkan sebagai satu sistem yang lebih komprehensif menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) bagi meningkatkan kesediaan penjawat awam dalam melaksanakan perubahan serta meningkatkan daya saing negara. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sentuhan pertama Ruben ketika MU berkunjung ke Ipswich

SENTUHAN pertama Ruben Amorim sebagai Ketua Jurulatih baharu Manchester United hanya akan dilihat apabila kelab itu berkunjung ke Ipswich...

Lagi Artikel Berkaitan