KANAK-KANAK yang diselamatkan dalam serbuan Op Global dari rumah jagaan dikaitkan dengan Global Ikhwan Service & Business Holdings (GISBH) dipulangkan kepada ibu bapa dan penjaga yang sah selepas mendapat perintah dari mahkamah.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kanak-kanak terbabit tidak boleh diserahkan tanpa melalui prosedur mahkamah atas kebimbangan mereka mungkin diberi kepada individu salah dan bukan ibu bapa sebenar.
Beliau berkata, setakat semalam, daripada 560 kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan, seramai 54 orang sudah dikembalikan kepada ibu bapa dan penjaga sah atas arahan mahkamah.
“Sekarang ada 68 permohonan tuntutan terhadap kanak-kanak ini yang sedang menjalani proses siasatan dan dokumentasi sebelum mahkamah memutuskan arahan selanjutnya.
“Perlu difahami kanak-kanak yang diselamatkan ini bukan diambil dari tangan ibu bapa atau penjaga di rumah sendiri.
“Mereka diselamatkan di premis penjagaan yang mana ibu bapa dan penjaga tidak berada bersama.
“Dalam situasi ini, bagaimana kita nak menentukan yang datang menuntut itu benar-benar ibu bapa atau penjaganya.
“Itu sebabnya tindakan JKM bersandarkan lunas undang-undang yang diputuskan mahkamah,” katanya seperti dilapor Buletin TV3.
Sebelum itu, Nancy menghadiri Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak 2024 Peringkat Negeri Perlis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abi, di Kangar hari ini.
Nancy berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan melakukan prosedur siasatan dan serahan dokumentasi lengkap sebelum mahkamah memutuskan sedemikian.
Beliau berkata, ada di antara kanak-kanak terbabit tidak mengetahui identiti ibu bapa dan penjaga mereka kerana berada di pusat jagaan sejak kecil.
“Apabila ibu bapa menuntut, kita perlu jalankan siasatan dahulu. Bayangkan kalau kita serahkan kepada sesiapa sahaja dan selepas itu didapati salah, sudah tentu kesannya tidak baik.
“Ada kes ibu dan bapa berebut sambil mendakwa anak yang diselamatkan itu anak mereka.
“Mungkin betul tetapi tetap perlu menjalani prosedur untuk ditemu bual bagi siasatan pegawai JKM,” katanya.

