Saturday, June 13, 2026

Baucar buku fasa kedua diagih melalui Mysiswaplace mulai Rabu

Mesti Baca

BAUCAR buku kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) fasa kedua akan diagihkan mulai 30 Oktober hingga 31 Disember ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, baucar buku sebanyak RM100 seorang itu akan diagih melalui platform Mysiswaplace.

“Pelaksanaan fasa kedua ini dijadual bermula pada 30 Oktober hingga 31 Disember 2024 yang akan memanfaatkan lebih 1 juta pelajar IPT warganegara Malaysia,” kata KPT dalam kenyataan hari ini.

Menurut KPT, bagi fasa kedua, penyaluran baucar akan dilaksanakan melalui pelantar digital kepada pelajar IPT yang berdaftar di bawah KPT dan berstatus aktif sehingga 31 Mac 2024.

Katanya, kod baucar akan dijana setelah semakan kelayakan dibuat di portal Mysiswaplace di pautan https://mysiswaplace.my bermula 30 Oktober ini.

“Penebusan kod baucar yang terjana di portal hanya sah digunakan untuk pembelian buku di portal Mysiswaplace sahaja; dengan setiap pelajar layak menebus baucar berjumlah RM100,” katanya.

Mengenai pemilihan Mysiswaplace, KPT berkata, pemilihan portal kendalian Yayasan Perkasa Siswa (YPS) iaitu agensi rasmi di bawah KPT adalah untuk memudahkan urusan para pelajar menggunakannya sepanjang inisiatif tersebut.

Katanya, Mysiswaplace membantu pelajar dengan menyediakan akses mudah dan cepat kepada bahan bacaan melalui pelantar atas talian yang dilengkapi dengan sistem yang telus.

Ini bagi memastikan pelajar sentiasa mempunyai bahan rujukan yang diperlukan, memaksimumkan keberkesanan pembelajaran dan mengurangkan kesulitan.

Majlis Peluncuran Mysiswaplace akan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada esok, 29 Oktober.

“KPT berharap inisiatif ini dapat membantu menerapkan budaya cintakan ilmu dan buku sekali gus dapat memugar budaya membaca dalam kalangan pelajar IPT serta bakal merancakkan lagi industri buku akademik dan wacana ilmiah tempatan,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan