Tuesday, July 21, 2026

Lebih 66,000 anggota agensi KDN siap siaga hadapi MTL

Mesti Baca

SERAMAI 66,042 anggota agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta bersiap siaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang akan bermula bulan depan.

KDN berkata, selain itu 10,540 aset Polis Diraja Malaysia (PDRM), Rela dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) juga bersedia diatur gerak ke seluruh negara.

KDN berkata, daripada jumlah tersebut, PDRM akan mengatur gerak sejumlah 17,216 anggota sumber manusia beserta 9,936 aset pelbagai jenis. 

“Manakala RELA pula bersedia dengan sejumlah 47,100 anggota beserta 457 aset dan diikuti dengan Maritim Malaysia seramai 1,726 anggota dan 147 aset bersedia untuk diatur gerak di seluruh negara,” kata KDN dalam kenyataan hari ini.

Fenomena MTL ini biasanya akan membawa hujan lebat beserta angin kencang dan berisiko menyebabkan kejadian banjir serta banjir kilat di kawasan terbabit.

KDN berkata, antara peranan yang akan dilaksanakan oleh anggota ketiga-tiga agensi terbabit termasuklah pemindahan mangsa, kawalan keselamatan dan trafik di tempat bencana, rondaan dan pemantauan kawasan berisiko bencana.

Selain itu mereka juga terlibat dalam penugasan di Pusat Pemindahan Sementara, penugasan di Pusat Pangkalan Bekalan Hadapan, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) dan penugasan pasca bencana banjir. 

Selain itu, katanya, PDRM juga akan bertindak sebagai Komander Operasi Bencana seperti yang ditetapkan dalam Arahan NADMA No. 1: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara.

“KDN menasihatkan seluruh rakyat Malaysia yang berisiko terkesan akibat bencana banjir untuk sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia, sentiasa berwaspada dan bertindak mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan perkara yang tidak diigini berlaku. 

“Kementerian juga ingin mengingatkan orang ramai supaya patuh kepada arahan pihak berkuasa bagi melancarkan operasi bantuan dan menyelamat mangsa-mangsa banjir,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini berhubung situasi banjir dengan menghubungi Pusat Kawalan Malaysia (MCC) PDRM di talian 03-2266 3333 / 03-2266 3444 / 03-2266 3451 atau menghubungi talian MERS 999 untuk bantuan kecemasan. 

Untuk laporan terkini dan sahih berkaitan bencana, orang ramai boleh layari www.portalbencana.nadma.gov.my. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan