Friday, July 24, 2026

Jalur Gemilang tak lengkap: KDN siasat ‘Sin Chew Daily’

Isu ini menjadi peringatan penting kepada semua syarikat media dan penerbitan supaya tidak mengambil mudah soal sensitiviti nasional dan patriotisme - KDN

Mesti Baca

Fazrina K
Fazrina K
Mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam dunia kewartawanan bersama syarikat media terkemuka. Pengkhususan dalam penulisan rencana, laporan khas dan analisis isu-isu semasa.

AKHBAR berbahasa Cina, Sin Chew Daily berdepan tindakan di bawah dua perundangan ekoran menerbitkan satu lakaran Jalur Gemilang tidak lengkap di muka hadapan akhbar tersebut hari ini.

Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataan berkata, akhbar tersebut boleh didakwa di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301], kedua-duanya di bawah bidang kuasa kementerian tersebut.

KDN berkata, isu itu timbul apabila imej Jalur Gemilang yang disiarkan tidak memaparkan simbol bulan sabit sebagai satu lambang penting yang menggambarkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

“Perbuatan ini disifatkan bukan sahaja tidak wajar, malah mencetuskan kebimbangan terhadap profesionalisme dalam kalangan penerbit serta potensi menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Jalur Gemilang bukan sekadar simbol; ia mewakili kedaulatan, perpaduan dan identiti negara. Kecuaian dalam memaparkan bendera negara dalam bentuk rasmi bukanlah satu perkara remeh, sebaliknya merupakan kesalahan di sisi undang-undang,” tegas kenyataan itu hari ini.

Menerusi muka depan akhbar harian itu, Sin Chew Daily menerbitkan lakaran Jalur Gemilang bersama bendera negara China susulan kunjungan Presiden Xi Jinbing ke negara ini.

Bagaimanapun, imej Jalur Gemilang tersebut tidak memaparkan bulan sabit, yang merupakan kesalahan yang dianggap serius oleh sebuah akhbar yang sudah lama berada di pasaran.

Walaupun akhbar tersebut menyiarkan ralat dan memohon maaf menerusi versi dalam talian, namun merek menyebutkan bulat sabit sebagai “anak bulan”.

KDN menegaskan, pihaknya tidak akan kompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan berkaitan penerbitan terutama yang menyentuh keselamatan dan ketenteraman awam.

“Tindakan tegas bakal diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada,” kata kementerian itu.

Sebagai langkah awal, KDN berkata, pihak Sin Chew Daily telah dipanggil untuk memberi penjelasan dan siasatan sedang dijalankan.

Katanya, Surat Tunjuk Sebab turut diserahkan kepada syarikat penerbitan tersebut bagi menjelaskan pelanggaran yang berlaku.

“Isu ini menjadi peringatan penting kepada semua syarikat media dan penerbitan supaya tidak mengambil mudah soal sensitiviti nasional dan patriotisme.

“Lambang negara adalah simbol perpaduan yang wajib dihormati, dan kecuaian seumpama ini wajar dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya.

Sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dan ketenteraman awam, KDN komited untuk memastikan setiap penerbitan mematuhi garis panduan sah serta menghormati nilai-nilai kebangsaan yang menjadi tunjang kestabilan negara. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan