26.4 C
Kuala Lumpur
Wednesday, January 15, 2025

KDN gerakkan anggota PDRM, aset bantu mangsa banjir 

Mesti Baca

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) telah menggerakkan seramai 1,672 pegawai dan anggota polis, bersama 230 aset kenderaan serta peralatan kecemasan Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi bantuan operasi banjir di seluruh negara. 

Menurut KDN, antara aset yang digunakan termasuk 152 kenderaan pacuan empat roda, 68 bot, 51 lori, 15 kereta peronda, 13 van, dan sebuah helikopter. 

Kementerian itu berkata, seramai 818 anggota RELA juga turut ditugaskan untuk membantu mangsa banjir di kawasan terjejas, termasuk di 706 pusat pemindahan sementara (PPS). 

Katanya, RELA juga ditugaskan membantu PDRM dalam rondaan komuniti di kawasan yang terbabit banjir. 

“Tugas dan tanggungjawab PDRM dan RELA termasuk operasi pemindahan mangsa, kawalan keselamatan dan trafik di tempat bencana, rondaan dan pemantauan kawasan berisiko bencana, penugasan di PPS pusat pemindahan sementara (PPS) dan pusat pangkalan bekalan hadapan, operasi pencarian menyelamat serta penugasan pasca bencana banjir. 

“KDN dan agensi di bawahnya sentiasa cakna dan prihatin dengan situasi semasa musibah banjir yang melanda negara ketika ini dan akan sedaya upaya memberikan bantuan dari segi tenaga, logistik, aset, dan seumpamanya, bagi memastikan mangsa banjir disantuni sewajarnya. 

Advertisements

“KDN menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca semasa dan perkembangan terkini bencana banjir dengan mengambil langkah berjaga-jaga serta peka dengan pengumuman semasa yang sahih melalui pihak berkuasa di samping media massa,” kata kenyataan itu hari ini.

Sementara itu KDN berkata, Skuad Ihsan MADANI KDN juga telah bersiap siaga untuk bantuan pasca banjir yang akan membantu mangsa yang terjejas. 

Selain PDRM dan RELA, agensi KDN yang lain seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia akan terbabit dengan Skuad Ihsan MADANI KDN bagi bantuan pasca banjir. 

“Bagi mangsa banjir yang terkesan dengan kemusnahan dokumen penting seperti kad pengenalan, sijil lahir dan pasport, JPN dan JIM akan menyediakan perkhidmatan penggantian dokumen tersebut secara percuma kepada semua mangsa banjir. 

“Perkhidmatan penggantian dokumen penting oleh JPN akan turut disediakan melalui bas bergerak (mobile bus) di kawasan-kawasan yang terkesan,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan SARA disalur kepada 700,000 penerima mulai esok

DALAM usaha berterusan untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri...

Lagi Artikel Berkaitan