34.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Teknologi IoT beri manfaat besar kepada pesawah

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

SUBSEKTOR padi dan beras negara telah beralih kepada penggunaan teknologi terutamanya Internet of Things (IoT) dalam memenuhi permintaan pada masa kini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penggunaan teknologi canggih itu adalah selaras dengan pembangunan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) demi menjamin produktiviti yang lebih baik.

Mengambil contoh di Selangor, pelaksanaan Jelapang Padi Selangor telah mempelopori penggunaan jentanam (transplanter) di keseluruhan kawasan jelapang dan luar jelapang padi di negeri tersebut.

“Penggunaan jentanam dalam subsektor padi dan beras telah terbukti memberi banyak manfaat kepada pesawah. Antaranya membantu menyeragamkan jarak tanaman, pertumbuhan dan kadar kematangan padi.

“Selain itu, penggunaannya dapat memudahkan pengurusan rumpai, penyakit dan perosak, mengoptimumkan penggunaan benih daripada tujuh beg kepada empat beg serta dapat mengurangkan peratus kadar pemutuan padi.

“Dalam perkara ini, penggunaan jentanam adalah disyorkan untuk dipraktikkan oleh pesawah dan pengusaha padi di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Jelapang Padi Negeri Selangor merangkumi Sabak Bernam, Sungai Besar dan Tanjung Karang bagi meninjau sendiri program dan aktiviti yang dijalankan di sana.

Turut serta dalam lawatan ini Ketua Pengarah Industri Padi Beras (IPB), Datuk Azman Mahmood, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Zahimi Hassan dan Presiden Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Advertisements

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerima sejumlah RM1.6 bilion dalam Belanjawan 2023 bagi penyaluran subsidi dan insentif seperti harga padi, baja padi dan padi huma bagi mengurangkan kos sara hidup pesawah serta memastikan kelangsungan pengeluaran padi dan beras negara.

Menerusi peruntukan itu, penyaluran sebanyak RM228 juta memanfaatkan seramai 240 ribu pesawah di mana mereka menerima sumbangan sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh tiga bulan atau semusim.

Selain itu, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) turut akan berkongsi 30 peratus keuntungan bersih daripada import beras kepada pesawah.

Dalam pada itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyasarkan peningkatan purata hasil padi per hektar nasional kepada tujuh metrik tan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi meningkatkan pendapatan pesawah.

Katanya, kementerian giat membangunkan kawasan penanaman padi seluas 300,000 hektar setahun secara berperingkat melalui program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB).

“Pelaksanaan program SMART SBB ini telah mencapai keseluruhan kawasan seluas 1,500 hektar pada 2022 dengan peningkatan sebanyak 435 peratus berbanding keluasan sebanyak 280 hektar pada 2021.

“Manakala, seramai 724 orang pesawah telah menerima manfaat daripada pulangan bersih hasil tuaian sawah sebanyak 28 peratus iaitu RM1,200 per tan metrik sebelum ini kepada RM1,540 per tan metrik,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan