BEKAS Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menafikan dakwaan kononnya empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pulau Pinang melompat parti.
Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, tindakan membawa usul mengosongkan kerusi empat ADUN berkenaan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah tidak wajar.
“Semua rakyat harus menyaksikan kesombongan gabungan DAP-UMNO di Pulau Pinang yang hari ini membawa usul ke DUN Pulau Pinang untuk mengosongkan kerusi empat ADUN Perikatan Nasional (PN).
“Mereka kata ini adalah kerana telah berlaku lompat parti. Tapi faktanya ialah dua ADUN Bersatu tidak pernah keluar parti dan dua ADUN PKR dipecat. Tidak ada yang lompat parti,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Mengulas lanjut Wan Saiful berkata, usul yang dikemukakan DAP-UMNO di negeri itu menunjukkan sikap mereka yang tamak dan rakus bagi membolot kuasa.
“DAP-UMNO di Pulau Pinang mahu menghapuskan suara PN di negeri itu agar mereka boleh bermaharajalela. Mereka boleh tunggu sehingga (Pilihan Raya Negeri (PRN) tapi mereka tidak mahu.
“Mereka boleh pinda Perlembagaan supaya selari dengan semangat Akta Anti Lompat Parti Persekutuan tetapi mereka tidak mahu.
“Inilah kesombongan DAP-UMNO dan kerakusan mereka membolot kuasa dengan menggunakan saluran perundangan,” tegasnya. – Edisi 9