27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Syamsul Yusof failkan nusyuz ke atas Puteri Sarah

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PENGARAH kontroversi, Syamsul Yusof membuat ‘kejutan’ apabila memfailkan tuntutan nusyuz ke atas isterinya, Puteri Sarah Liyana, 38, di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, petang tadi.

Bahkan, Syamsul atau nama sebenarnya Mohd. Syamsul Mohd. Yusof, 39 memaklumkan media yang berada di perkarangan mahkamah berkenaan, terdapat alasan bagi dirinya tampil membuat tuntutan tersebut.

Lebih mengejutkan, apabila dia mendakwa, isteri pertamanya itu masih berhubung dengan bekas kekasihnya yang kini berstatus suami orang.

“Selama ini apa yang berlaku ke atas rumah tangga, saya banyak diam. Rasa tak elok nak kongsi hal ini kepada umum.

“Saya sudah memendam rasa sebagai suami. Dalam dunia ini, tiada suami yang boleh terima apabila isterinya curang dengan suami orang lain. Saya tahu Sarah masih berhubung dengan bekas kekasihnya sewaktu di zaman kolej lagi,” katanya.

Selain itu, ujarnya, dia turut terkejut dalam prosiding di mahkamah sebelum ini apabila Sarah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah apabila menuduh dia melakukan kekasaran terhadapnya (memukul).

“Saya terkejut apabila Sarah menuduh saya telah memukulnya. Itu adalah fitnah. Mungkin Sarah marah dan benci dengan saya.

“Kesilapan saya mungkin sebab saya diam sehingga ibu bapa saya juga menghentam saya. Saya bukan hendak membalas Sarah, tetapi orang perlu tahu hal yang sebenar,” katanya.

Sementara itu, peguamnya Azmi Mohd. Rais memberitahu, pihaknya akan menyerahkan tuntutan nusyuz ke atas Sarah dalam masa terdekat.

Ketika disoal media antara tuntutan nusyuz yang dibuat, Azmi memberitahu terdapat empat jenis tuntutan yang dinyatakan Syamsul

“Syamsul memfailkan tuntutan nusyuz ke atas Sarah membabitkan beberapa alasan. Antaranya meninggalkan rumah kelamin sejak Oktober 2020.

“Kedua masih menghubungi bekas kekasihnya. Alasan ketiga kerana enggan mematuhi notis nusyuz dan keempat membuat kenyataan fitnah apabila dituduh memukul dan tidak memberi nafkah kepada isterinya,” kata Azmi.

Tarikh sebutan semula kes tuntutan nusyuz Syamsul terhadap Sarah akan disambung semula pada 6 April depan.

7 Mac lalu, pasangan itu diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.

Pada prosiding itu, Sarah diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Syamsul diwakili peguam syarie Roshdan Sujak.

Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian itu di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh antara alasan yang dikemukakan Puteri Sarah untuk bercerai ialah sudah tidak ada persefahaman dan telah berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri menurut hukum syarak.

-EDISI9

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan