31.8 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Bukan Islam ada kemusykilan rujuk terus kepada MKI – PM

Mesti Baca

PIHAK-PIHAK bukan Islam yang mempunyai kemusykilan khususnya berhubung Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam diminta merujuk terus kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini bagi mengelak sebarang kekeliruan yang timbul dan meleraikan sebarang kekusutan dalam suasan harmoni dan beradab.

Bagaimanapun, beliau mendukung penuh kenyataan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengingatkan agar dihormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal Agama Islam di Malaysia.

“Merujuk kepada kenyataan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengingatkan agar dihormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di Malaysia, dan saya mendukung penuh kenyataan tersebut.

“Namun, sekiranya terdapat sebarang kemusykilan dan bagi mengelak sebarang kekeliruan, pihak bukan Islam boleh menulis kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) untuk meleraikan sebarang kekusutan dalam suasana yang harmoni dan beradab,” kata beliau dalam kenyataan ringkas hari ini.

Semalam, Sultan Sharafuddin mengingatakan agar orang politik khususnya mereka yang bukan beragama Islam untuk tidak terus-menerus mencampuri urusan hal ehwal agama Islam.

Baginda yang juga Pengerusi MKI bertitah, penganut agama lain malahan seharusnya mencontohi umat Islam yang tidak mencampuri hal ehwal agama lain di negara ini.

Advertisements

Baginda menitahkan demikian susulan cadangan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham supaya kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Koo Ham dipetik media sebagai berkata, langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke kemudian menjelaskan bahawa Koo Ham terkhilaf mengenai punca kuasa penubuhan jawatankuasa khas tersebut.

Atas kekhilafan tersebut, katanya, Ahli Parlimen Beruas itu telah mencadangkan agar jawatankuasa khas berkenaan turut disertai oleh pakar daripada kalangan bukan Islam.

Sedar bahawa cadangan tersebut bakal menimbulkan polemik kononnya DAP cuba mencampuri urusan agama Islam, Anthony menegaskan, perkara itu tidak benar sama sekali.

Sebaliknya beliau berkata, DAP komited terhadap prinsip hormat-menghormati antara satu sama lain dan keharmonian antara agama serta kaum. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

‘Oppa’ adaptasi kisah guru jadi mangsa ‘Love Scam’

TIDAK dinafikan kes yang membabitkan jenayah scam sememangnya cukup serius sehingga mangsa ditipu dan mengalami kerugian dari segi wang ringgit. Kejadian...

Lagi Artikel Berkaitan