30.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

Cadangan Koo Ham tidak berpijak di bumi nyata – Asyraf

Mesti Baca

UMNO menolak cadangan seorang pemimpin DAP agar melantik pakar dalam kalangan bukan Islam dalamJawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Setiasaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham berhubung pelantikan bukan Islam dalam jawatankuasa tersebut tidak berpijak di bumi yang nyata.

Malahan beliau berkata, cadangan pemimpin DAP itu hanya bakal mencetuskan polemik yang tidak perlu dalam suasana harmoni rakyat pelbagai agama dan kaum selama ini.

“Sejak merdeka, Mahkamah Syariah adalah dikhususkan kepada rakyat beragama Islam.

“Malah proses menambah baik dan menaik taraf Mahkamah Syariah yang dilakukan sejak UMNO menerajui kerajaan sentiasa dibuat secara bertahap dan mengambil kira ruang lingkup kuasa yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook malam tadi.

NGEH KOO HAM

Malahan, beliau menegaskan, sepanjang proses menaik taraf Mahkamah Syariah baik dari segi pentadbiran, kompetensi, emolumen dan penggajian hakim dan pegawai mahkamah syariah, bentuk dan tahap hukuman yang diperuntukkan di bawah kuasa Mahkamah Syariah, tidak pernah sesekali mengambil atau mencabuli hak warga bukan Islam.

Katanya, ini juga sejajar dengan peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu sebagai pemelihara dan pelindung kepada kesucian agama Islam sebagai Agama Persekutuan, pada masa sama mengiktiraf kebebasan agama-agama lain untuk diamalkan di negara ini.

Advertisements

“Justeru, berikanlah kepercayaan dan keyakinan kepada Majlis Raja-Raja Melayu dalam menentukan panel-panel yang bakal mengganggotai jawatankuasa ini kelak.

“Tentunya Raja-Raja Melayu amat bijaksana dan pasti mengambil kira segala aspek termasuk bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dalam mengabsahkan terma-terma rujukan jawatankuasa ini,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, apa jua dapatan jawatankuasa itu kelak pastinya akan dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu setelah diteliti segala aspek yang terkait dengan Perlembagaan.

Malahan katanya, jika ada sebarang cadangan yang melibatkan pindaan Undang-undang mahupun Perlembagaan sekalipun, tentu sekali prosesnya akan turut melibatkan Ahli-ahli Parlimen Bukan Islam yang mempunyai kuasa untuk membahas, menyokong, meminda mahupun menolak cadangan-cadangan yang terkait dengan penggubalan undang-undang mahupun Perlembagaan.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan disaran melantik pakar daripada kalangan bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan pada awal bulan ini.

Koo Ham dipetik media sebagai berkata, langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Beliau juga mengingatkan Perlembagaan dibentuk dengan mengambil kira kepentingan semua golongan, maka sebarang perubahan yang memberi kesan kepada kaum dan agama mesti dibincangkan secara menyeluruh untuk mengelakkan konflik. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan