25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Beberapa bank tawar bantuan untuk pelanggan terjejas banjir

Mesti Baca

BEBERAPA bank di Malaysia menawarkan bantuan yang bertujuan meringankan beban kewangan kepada pelanggan yang terjejas dengan bencana banjir di beberapa negeri.

OCBC Bank (Malaysia) Bhd (OCBC Bank), bersama anak syarikat perbankan Islam, OCBC Al-Amin Bank Bhd (OCBC Al-Amin) menggesa semua pelanggan, sama ada individu, mikroperusahaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), komersial serta korporat yang terjejas menghubungi bank itu jika mahu membincangkan kemungkinan mendapatkan bantuan atau menyusun semula pinjaman dan skim pembiayaan sedia ada.

Semua permohonan akan diberi keutamaan dan dilayan mengikut kes dengan matlamat menentukan jalan penyelesaian yang terbaik bagi pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif, OCBC Bank, Tan Chor Sen, berkata OCBC Malaysia sentiasa berusaha menyokong setiap pelanggan yang terkesan dengan bencana banjir dan menyeru mereka kekal positif dalam situasi yang mencabar ini.

“Banjir yang melanda beberapa kawasan di negara kita telah menyebabkan beberapa kumpulan individu dan masyarakat dihimpit kesusahan.

“Sebagai sebahagian daripada usaha memudahkan pelanggan, kami bersedia membantu mana-mana satu daripada mereka yang terjejas untuk menangani masalah pembayaran, supaya mereka dapat pulih dan terus mengejar aspirasi.

“Kami menyeru mereka tidak teragak-agak untuk menghubungi kami bagi mendapatkan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Advertisements

Sementara itu, Alliance Bank Malaysia Bhd juga menawarkan program bantuan banjir untuk meringankan beban kewangan pelanggan dan perniagaan yang terjejas akibat banjir.

Bank berkenaan dalam kenyataan berkata, langkah bantuan itu termasuk menawarkan moratorium pinjaman sehingga enam bulan, pengubahsuaian bayaran balik pinjaman serta pengecualian bayaran fi dan caj untuk semua pinjaman konvensional dan kemudahan pembiayaan Islam.

Selain itu, katanya fi dan caj bagi perkhidmatan terpilih seperti penggantian semula kad debit, kad ATM, buku cek dan buku simpanan yang telah hilang atau musnah semasa banjir akan turut dikecualikan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kellee Kam, dalam kenyataan sama berkata Alliance Bank memahami tekanan emosi dan kewangan yang dialami oleh keluarga dan perniagaan yang terjejas banjir.

“Kami berharap bantuan kewangan akibat banjir ini akan membantu meringankan kebimbangan mereka dari segi kewangan,” katanya.

Bantuan berikutan banjir ini dibuka untuk permohonan berkuat kuasa serta-merta sehingga 26 Januari 2024. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Akhyar Rashid disamun, cedera di kepala akibat dipukul

PEMAIN bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid cedera di kepala dan kaki selepas menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu sekitar...

Lagi Artikel Berkaitan