30.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Monopoli Puspakom ditamatkan tahun depan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERKHIDMATAN Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sebagai penyedia tunggal pemeriksaan berkala kenderaan motor akan ditamatkan berkuatkuasa 1 September 2024.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, perkara itu diputuskan pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Mac lalu yang menetapkan supaya perkhidmatan pemeriksaan berkala bermotor dibuka kepada mana-mana pihak berkelayakan.

Menurutnya, ketetapan ini bermakna Puspakom tidak lagi penyedia tunggal (monopoli) pemeriksaan berkala bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selaras hasrat kerajaan mewujudkan persekitaran perkhidmatan berdaya saing serta memudahkan seluruh rakyat.

“Serentak itu, kami turut mempelawa pihak yang berminat dalam perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan bermotor yang dijangka bermula selewat-lewatnya dalam suku pertama 2024.

“Justeru, Kementerian Pengangkutan (MOT) dan JPJ akan membangunkan syarat kelayakan, peraturan pengoperasian, skop perkhidmatan penetapan lokasi pemeriksaan dan garis panduan bagi pihak lain yang berminat menyediakan perkhidmatan itu,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya, hari ini.

Ujar Siew Fook, pihak lain yang berminat menyediakan perkhidmatan itu diwajibkan memenuhi semua syarat dan peraturan sama yang dikenakan kepada Puspakom di bawah Perjanjian Konsesi.

Menurutnya, syarat berkenaan termasuk kewajipan melantik pekerja yang memenuhi syarat kelayakan ditetapkan sahaja selain menyedia dan menggunakan peralatan pemeriksaan berkomputer yang dikawal selia dan diluluskan oleh JPJ.

Tegasnya lagi, pihak lain itu juga perlu menyediakan perkhidmatan dengan mematuhi skop, standard dan prosedur pemeriksaan motor yang ditetapkan sepenuhnya.

Advertisements

“Mereka juga hanya boleh mengenakan kadar fi pemeriksaan yang ditetapkan dan tidak dibenarkan sama sekali menawarkan perkhidmatan pembaikan atau ubah suai kenderaan serta penjualan alat ganti,” katanya.

Jelasnya lagi, MOT juga akan memastikan bahawa pembukaan pemeriksaan berkala kepada pihak lain tidak menyumbang kepada elemen persaingan tidak sihat serta membawa kesan negatif kepada perkhidmatan itu.

Menurut beliau, mana-mana pihak yang berjaya memenuhi semua syarat ditetapkan akan dipelawa dan dibenarkan beroperasi sebagai pusat pemeriksaan berkala kenderaan motor bagi pihak JPJ pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Loke berkata, kerajaan juga bersetuju melanjutkan perjanjian konsesi Puspakom selama 15 tahun lagi berkuatkuasa 1 September 2024 dengan penambahbaikan terma-terma perjanjian sedia ada.

Menurutnya, Puspakom turut diminta melaksanakan beberapa penambahbaikan termasuk meningkatkan tahap kompetensi kakitangan, menambahbaik proses penempahan dan aduan pelanggan serta memasang sistem rakaman litar tertutup (CCTV) di semua pusat pemeriksaan.

Sementara itu, katanya, JPJ juga akan turut menambahbaik aspek pemantauan, pengawalseliaan dan auditan ke atas semua pusat dan aktiviti pemeriksaan Puspakom di sepanjang tempoh perjanjian konsesi berkuatkuasa.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Agong, Permaisuri zahir rasa sedih tragedi nahas helikopter TLDM

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan rasa sedih atas tragedi nahas dua...

Lagi Artikel Berkaitan