27.9 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Asap kenderaan: JAS, Puspakom teruskan jalinan kerjasama

Mesti Baca

JABATAN Alam Sekitar (JAS) dan Puspakom Sdn Bhd hari ini menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dalam usaha pemuliharaan alam sekitar melalui pelaksanaan program penguatkuasaan dan kesedaran.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata, melalui MoU itu kedua-dua pihak bersetuju dengan skop memorandum yang digariskan.

Menurutnya, Puspakom sebagai kemudahan yang diluluskan (KYDL) yang disijilkan oleh JAS, bertanggungjawab untuk membekalkan, melaksanakan dan menyempurnakan kepada pemunya kenderaan yang diarahkan oleh kerajaan untuk tujuan pengujian semula seperti yang ditetapkan oleh JAS.

Beliau berkata, pengujian semula itu meliputi ujian pelepasan asap daripada kenderaan berenjin diesel, ujian pelepasan gas pencemar CO dan HC daripada kenderaan berenjin petrol dan ujian pelepasan gas pencemar CO daripada enjin motosikal.

“Memorandum Persefahaman untuk kali ketiga antara Kerajaan Malaysia dengan Puspakom pada kali ini ditandatangani dengan tempoh perjanjian selama lima tahun daripada tarikh MoU ditandatangani.

JAS bekerjasama dengan Puspakom bagi pelaksanaan, penguatkuasaan dan kesedaran tentang alam sekitar dengan pemilik kenderaan bermotor. – Gambar hiasan/JAS

“Tujuan MoU adalah bagi mewujudkan komitmen dan menggalakkan kerjasama dalam pemuliharaan alam sekitar melalui pelaksanaan program penguatkuasaan dan kesedaran alam sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Advertisements

Pada majlis menandatangani MoU itu, Wan Abdul Latiff mewakili pihak JAS sementara Puspakom oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman.

Wan Abdul Latiff berkata, JAS sentiasa komited untuk menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi mengawal punca-punca pencemaran udara dari pelbagai aktiviti dan salah satu punca pencemaran udara terutama di kawasan perbandaran adalah dari kenderaan bermotor.

Beliau berkata, sepanjang tempoh perjanjian dengan JAS iaitu dari 2014 sehingga 2023, lebih daripada 20,000 pemeriksaan pelepasan asap atau gas telah dijalankan oleh Puspakom melibatkan kenderaan berenjin petrol dan diesel termasuklah ujian semula kenderaan.

Katanya, pemeriksaan kenderaan tersebut bagi memastikan pematuhan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Petrol) 1996 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Motosikal) 2003.

“Semua pihak termasuk kenderaan komersial, persendirian, industri dan masyarakat awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa memastikan kenderaan masing-masing diselenggara secara berkala bagi mengelakkan pelepasan asap berlebihan yang boleh mengakibatkan pencemaran alam sekitar.

JAS juga menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel ke [email protected] melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan