KEBAKARAN tanah gambut di Ladang Kelapa Cherating, Kuantan, Pahang menjadi punca kualiti udara di Balok Baru dalam keadaan ‘tidak sihat’.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia berdasarkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dengan bacaan 188 yang direkodkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada pukul 9 pagi ini.
Beliau berkata, kebakaran itu membabitkan kawasan ladang seluas 200 ekar dan usaha memadam kebakaran tersebut sedang giat dilakukan oleh anggota bomba.
“Pada masa ini, usaha pemadaman sedang giat dijalankan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melalui kaedah firefighting, water bombing dan kerja-kerja flooding di kawasan kebakaran dengan kerjasama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata, berdasarkan peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) semalam mendapati keadaan lebih kering diperhatikan di Semenanjung Malaysia dan Utara Sumatera walaupun dilapor akan berlaku hujan hari ini.
Kata beliau, beberapa titik panas terpencil dikesan terutamanya di Timur Kalimantan dan Semenanjung Malaysia, dengan kepulan asap setempat yang diperhatikan berpunca daripada titik panas yang dikesan di kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
“Susulan bacaan IPU yang mencapai 201 hingga 300 di Balok Baru, Kuantan Pahang pada 3 Mac 2025 (semalam), JAS telah mengeluarkan Nota Pemberitahuan Amaran 3A dan 3B kepada Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk tindakan hebahan Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana di peringkat negeri dan daerah.
“Hebahan ini juga bertujuan bagi membolehkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah/Negeri diaktifkan dan memastikan tindakan dapat diambil selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan,” katanya. – Edisi 9

