JABATAN Alam Sekitar (JAS) mengesahkan beberapa kawasan Sungai Tebrau, Johor dicemari dengan bau busuk dan permukaan sungai mempunyai lapisan minyak.
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, pencemaran tersebut dipercayai menjadi punca bau busuk sekitar Bukit Indah, Kempas, Senai, Skudai dan Kulai sepertimana aduan diterima jabatan itu pada Isnin lalu.
Susulan itu, beliau berkata, JAS telah mengambil sembilan sampel untuk dianalisis lanjut oleh Jabatan Kimia Malaysia.
Beliau berkata, JAS juga membuat pemantauan menggunakan dron dikawasan berhampiran kejadian serta pemantauan kualiti udara di kawasan terjejas.
“Kerajaan memandang serius terhadap jenayah alam sekitar dan melalui pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, memperuntukkan hukuman yang lebih berat bagi kesalahan tersebut.
“AKAS 1974 yang telah berkuatkuasa pada 7 Julai 2024 turut melibatkan pindaan hukuman, denda dan penalti di mana peningkatan julat kadar denda antara RM5,000 hingga RM10 juta, selain penjara mandatori tidak melebihi lima tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Abdul Latiff berkata, selain itu kadar kompaun juga ditingkatkan daripada maksimum RM2,000 kepada tidak melebihi 50 peratus daripada denda maksimum kesalahan berkaitan.
Beliau berkata, bagi kes pencemaran yang dikesan di Taman Perindustrian Tiong Nam dan Taman Perindustrian Tropika, pihak JAS akan memastikan kerja-kerja pembersihan dan pelupusan sisa pencemaran oleh kontraktor berlesen dilaksanakan.
Katanya, ini sebagaimana terma rujukan yang telah ditetapkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Johor Bahru.
Jelas beliau, JAS melalui operasi bersepadu bersama-sama agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia juga telah menjalankan siasatan dan pemeriksaan ke atas premis-premis yang disyaki melakukan pencemaran.
JAS, tegas beliau, akan meneruskan pemeriksaan terhadap premis-premis yang berpotensi menyebabkan pencemaran tersebut.
“Semua pihak industri adalah diingatkan bahawa tindakan tegas di bawah AKAS 1974 akan dikenakan ke atas mana-mana premis yang melakukan pencemaran alam sekitar.
“Orang awam adalah diseru untuk bekerjasama dengan JAS bagi melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar serta menyalurkan aduan untuk tindakan penguatkuasaan,” katanya. – Edisi 9