24.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, October 12, 2024

Geran i-SEE bantu syarikat tempatan hasilkan kaki prostetik

Mesti Baca

SYARIKAT inovasi tempatan, MyB Innovation Sdn Bhd berjaya menghasilkan kaki prostetik berinovasi tinggi, MyB Prosthetic Limb, yang akan dikomersialkan ke pasaran Indonesia.

Sehubungan itu, MyB Innovation dan syarikat Indonesia, PT Yusuf Ortonesia Medika memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mengkomersialkan produk tersebut dengan unjuran jualan berjumlah RM1 juta pada tahun pertama.

MyB Prosthetic Limb mempunyai ciri-ciri inovatif seperti boleh dibengkokkan sehingga 180 darjah dan menawarkan keselesaan maksimum serta fleksibiliti untuk mereka yang mengalami amputasi anggota di bawah lutut.

Berbeza daripada kaki palsu konvensional yang penggunaannya terhad kepada berdiri dan berjalan, kaki prostetik baharu ini membolehkan pergerakan buku lali sekali gus menjadikannya ideal untuk aktiviti seperti sujud dan yoga.

Menurut kenyataan SME Corp Malaysia, MyB Innovation telah menerima geran yang diluluskan sebanyak RM191,859 di bawah Program Ekosistem Inklusif PMKS (i-SEE) SME Corp melalui Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).

Advertisements

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata, program i-SEE menawarkan bantuan geran maksimum sehingga RM200,000 untuk setiap inovator atau usahawan.

“Melalui program ini, inovator atau syarikat bukan sahaja dapat membuka peluang perniagaan lebih luas ke peringkat serantau tetapi juga membawa manfaat besar kepada komuniti inklusif di Malaysia,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 40 inovator terdiri daripada usahawan dan syarikat dengan geran berjumlah RM5.52 juta telah diluluskan sejak 2021.

Rizal berkata, program i-SEE merupakan kesinambungan kepada Program Berimpak Tinggi 6 (HIP 6) di bawah Pelan Induk PKS (2012-2020) iaitu Program Inovasi Inklusif yang telah dilaksanakan dari 2016 hingga 2020 dengan 62 kelulusan bernilai RM13.84 juta.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YIM Dr Sharmila Mohamed Salleh berkata berdasarkan kajian impak yang dijalankan untuk projek i-SEE bagi tempoh 2021-2023, sebanyak 19 syarikat penerima dana telah berjaya meningkatkan pendapatan tahunan mereka. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

95,000 syarikat di bawah HRD Corp bakal latih pelajar IPMA

SEBANYAK 95,000 syarikat yang bernaung di bawah HRD Corporation (HRDC) sedia menanti para pelajar latihan dalam industri daripada institusi...

Lagi Artikel Berkaitan