26.6 C
Kuala Lumpur
Monday, December 2, 2024

SME Corp, Monsha’at Arab Saudi jalin kerjasama, kongsi maklumat

Mesti Baca

SME Corp. Malaysia menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Pihak Berkuasa Am Perusahaan Kecil dan Sederhana (Monsha’at) Arab Saudi bagi mewujudkan rangka kerja asas bagi kerjasama dalam perkongsian maklumat dan amalan terbaik kedua-dua pihak.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata, kerjasama itu tertumpu kepada pembinaan kapasiti dan program perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Beliau berkata, MoU itu juga memfokuskan pertumbuhan tinggi yang memudahkan akses pasaran serta inisiatif untuk pemindahan pengetahuan dalam aspek pendigitalan, kelestarian, inovasi dan keusahawanan.

“Buat julung-julung kalinya kami membawa 30 entiti perniagaan Malaysia untuk menembusi pasaran Arab Saudi yang menawarkan potensi besar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Majlis menandatangani MoU itu berlangsung pada BIBAN 2024 di Riyadh Front Exhibition & Conference Centre, Arab Saudi.

Pada majlis itu Rizal menandatangani bagi pihak SME Corp manakala Monsha’at diwakili oleh Gabenornya, Sami Ibrahim Alhussaini dan disaksikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedict.

BIBAN24 yang berlangsung pada 5 hingga 9 November dengan tema ‘Global Destination for Opportunities’, bermatlamat mengukuhkan kedudukan Arab Saudi sebagai destinasi utama bagi usahawan di peringkat serantau dan global.

Advertisements

Rizal berkata, bagi menyokong kerjasama tersebut, sebanyak 30 entiti perniagaan tempatan yang terdiri daripada 28 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) daripada sektor pertumbuhan tinggi, francais, makanan dan minuman serta dua koperasi telah menyertai acara tersebut.

Katanya, Malaysia mensasarkan potensi nilai dagangan berjumlah RM100 juta daripada aktiviti berkaitan perniagaan yang dianjurkan sepanjang 5 hari acara tersebut.

Sementara itu Ewon berkata, kerjasama itu mampu mempercepat transformasi PMKS menjadi firma pertumbuhan tinggi sepertimana disasarkan oleh kementeriannya.

“MoU ini dijangka berupaya mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan memupuk kerjasama rentas ekonomi khususnya dalam pembangunan PMKS bagi kedua-dua negara.

“Selain menggalakkan kerjasama erat dalam perkongsian maklumat dan amalan terbaik berkaitan pembangunan dan pertumbuhan PMKS, MoU ini juga bertujuan untuk mewujudkan inisiatif jangka panjang yang menyokong pertumbuhan perniagaan dua hala,” katanya.

Beliau berkata, dengan berkongsi pengalaman dan kepakaran, ekosistem keusahawanan yang lebih dinamik dapat diwujudkan bagi memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

“Kita boleh meneroka usaha sama dalam bidang seperti teknologi, pendidikan dan industri halal dengan memanfaatkan kekuatan masing-masing dalam pembangunan PMKS,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

ATPC kembang pasaran perubatan global di Indonesia

AGAPE ATP Corporation (ATPC) mengembangkan pasaran perubatan global di Indonesia menerusi tiga memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan institusi...

Lagi Artikel Berkaitan