TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memuji usaha Majlis Amanah Rakyat (MARA) mendekati komuniti melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Santuni Madani.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, usaha tersebut bukan sahaja memberi pendedahan tentang tanggungjawab sosial tetapi juga memberi peluang para pelatih GiatMARA mengaplikasikan kursus mereka.
“Syabas. Saya tertarik dengan usaha institusi ini, bukan hanya memberi pendedahan tentang tanggungjawab sosial bahkan membuka pengalaman baharu kepada pelatih bagi mengaplikasikan kursus mereka. Keep it up! (Teruskan usaha!),” katanya menerusi komentar di Facebook MARA hari ini.
Semalam, para pelatih GiatMARA di negeri Pahang telah berganding bahu menyelenggarakan 40 buah rumah terpilih di Kampung Tanag Putih, Pekan di bawah program Santuni Madani MARA.
Menurut MARA, program tersebut bukan sahaja meringankan beban penduduk dengan khidmat penyelenggaraan pendawaian elektrik, tetapi juga memberi peluang kepada pelatih GiatMARA mendapatkan pengalaman lapangan dalam bidang tersebut.
“Dalam usaha menyokong misi MARA Prihatin, pelatih dari GiatMARA Pekan, Maran, Jerantut dan Rompin telah berganding bahu menyelenggara 40 buah rumah yang terpilih dengan kerjasama dari Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tanah Putih.
“Semangat kerjasama yang ditunjukkan dalam program ini mencerminkan komitmen GiatMARA untuk terus menyantuni dan membantu komuniti setempat,” kata hantaran Facebook MARA.